Perikatan Nasional seperti kapal retak cari nakhoda

Perikatan Nasional seperti kapal retak cari nakhoda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERGOLAKAN politik yang sedang melanda blok pembangkang hari ini bukan lagi khabar angin atau polemik kecil yang boleh ditutup dengan retorik pentas ceramah sebaliknya jelas menunjukkan krisis kepimpinan yang nyata, terbuka dan sedang diperhatikan dengan teliti oleh rakyat.

Apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 1 Januari 2026, rakyat tidak hanya mendengar berita tentang pertukaran individu semata-mata sebaliknya mesej yang disampaikan lebih mendalam apabila gabungan yang mendakwa dirinya sebagai alternatif kerajaan kini kelihatan rapuh, kehilangan hala tuju dan menanggung keletihan dalaman yang kronik.

Peletakan jawatan ini membuka semula persoalan asas, iaitu adakah PN benar-benar sebuah gabungan yang berasaskan visi bersama atau sekadar pertemuan sementara kepentingan politik yang disatukan oleh emosi marah dan penentangan terhadap kerajaan sedia ada?

KEINGINAN MENJATUHKAN?

Hakikatnya, sejak awal penubuhan, PN lebih dikenali sebagai gabungan reaktif yang wujud kerana keinginan untuk menjatuhkan, bukan kerana kemampuan untuk membina. Apabila tokoh utama yang menjadi ‘gam’ penyatuan mula berundur, maka retakan yang selama ini disembunyikan di balik slogan akhirnya terdedah kepada umum.

Lebih membimbangkan, kemelut ini tidak berlaku dalam senyap. Ia berlaku secara terbuka, dengan pelbagai isyarat perebutan pengaruh dan hala tuju, khususnya apabila timbul spekulasi Pas berpotensi mengambil alih kepimpinan dominan dalam PN.

Bagi sebahagian penyokong, ini mungkin dianggap sebagai ‘kebangkitan kekuatan.’

Namun bagi rakyat yang berfikir jauh, hal ini menimbulkan persoalan besar tentang keseimbangan, keupayaan mentadbir masyarakat majmuk, serta kematangan politik sebuah gabungan pembangkang yang mahu memimpin negara berbilang kaum, agama dan pandangan.

Dalam politik, krisis kepimpinan jarang bersifat teknikal semata-mata. Ia hampir selalu berpunca daripada kegagalan menyepakati nilai teras.

PN hari ini sedang bergelut dengan persoalan siapa lebih dominan, siapa lebih berhak menentukan nada dan siapa harus mengalah?

Namun persoalan yang lebih penting, apakah visi negara yang ingin ditawarkan kepada rakyat, tenggelam dalam hiruk-pikuk dalaman?

Inilah tanda klasik sebuah gabungan yang sedang tenat dek terlalu sibuk menyelamatkan diri, sehingga lupa tanggungjawab kepada rakyat.

Sejarah politik dunia mengajar kita pembangkang yang kuat bukan diukur melalui keupayaan menjatuhkan kerajaan tetapi melalui kemampuan menawarkan harapan yang lebih baik.

Bekas Presiden Afrika Selatan yang juga pejuang anti-apartheid, Nelson Mandela, pernah mengingatkan, seorang pemimpin yang baik ialah yang mampu membimbing rakyatnya menyeberangi masa sukar, bukan yang meninggalkan mereka di tengah badai. Kata-kata ini relevan apabila rakyat melihat pimpinan pembangkang sendiri terperangkap dalam badai dalaman, tanpa peta jalan yang jelas.

 

 

TRAUMA SOSIAL DAN EKONOMI

Di Malaysia, rakyat sudah terlalu letih dengan episod politik yang tidak berkesudahan. Kejatuhan kerajaan demi kerajaan sebelum ini meninggalkan trauma sosial dan ekonomi. Justeru, apabila pembangkang kembali dilihat bergelut dengan konflik dalaman menyebabkan persepsi rakyat berubah daripada harapan kepada kebimbangan.

Kebimbangan bahawa jika diberi mandat sekali lagi, kitaran yang sama seperti perebutan kuasa, pengkhianatan dalaman dan pentadbiran yang tidak stabil akan berulang.

Krisis PN juga mendedahkan kelemahan besar dalam budaya politik pembangkang antaranya, kebergantungan melampau kepada figura, bukan institusi.

Apabila seorang tokoh berundur, seluruh gabungan terhuyung-hayang. Ini bercanggah dengan prinsip demokrasi matang yang menuntut kekuatan sistem, bukan individu.

Seorang ahli falsafah dan saintis Yunani purba, Aristotle pula pernah menulis “negara yang baik ialah negara yang ditadbir oleh undang-undang dan nilai, bukan oleh manusia semata-mata.”

Namun realitinya, PN masih terikat dengan politik personaliti, bukan politik dasar.

Lebih malang, kemelut ini berlaku ketika negara memerlukan pembangkang yang berfungsi sebagai semak dan imbang yang berkualiti.

Dalam demokrasi sihat, pembangkang bukan musuh rakyat tetapi rakan kritikal kepada kerajaan. Namun untuk memainkan peranan itu, pembangkang perlu stabil, berprinsip dan bersatu atas nilai bersama.

Sebaliknya PN hari ini, dengan segala pertelingkahan dan ketidakpastian hala tuju, gagal memenuhi prasyarat tersebut.

Rakyat juga tidak boleh menutup mata terhadap kesan jangka panjang kemelut ini. Apabila pembangkang lemah dan bercelaru, menyebabkan ruang politik mudah dipenuhi dengan sentimen ekstrem, politik kebencian dan naratif simplistik. Ini bahaya untuk negara majmuk seperti Malaysia.

Tokoh reformasi Czech, Vaclav Havel, pernah menyatakan politik tanpa moral akhirnya akan merosakkan jiwa masyarakat. Realitinya, politik yang berasaskan kemarahan semata-mata, tanpa kejelasan nilai, akan memecah-belahkan rakyat.

Dalam konteks ini, kemelut PN seharusnya menjadi amaran keras kepada rakyat.

Sokongan politik tidak boleh diberikan hanya kerana rasa tidak puas hati terhadap kerajaan sebaliknya mesti berdasarkan penilaian rasional terhadap kestabilan, keupayaan mentadbir dan kematangan kepimpinan.

Pembangkang yang sedang bergelut dengan konflik dalaman tidak boleh diyakini untuk mengurus negara yang kompleks.

 

BUKAN PENAMAT KRIRIS

Barangkali, peletakan jawatan Muhyiddin bukan penamat kepada krisis PN tetapi pembuka tirai kepada realiti yang selama ini cuba diselindungi.

Blok pembangkang sedang berada dalam fasa tenat, bukan kerana diserang dari luar tetapi kerana rapuh dari dalam.

Justeru, rakyat wajar membuka mata dan menilai dengan jujur sama ada adakah ini sebuah gabungan yang benar-benar bersedia memikul amanah negara atau sekadar kapal retak yang masih mencari nakhoda?

Dalam politik, seperti dalam kehidupan, krisis adalah saat kebenaran tersingkap. Dan kebenaran yang sedang terserlah hari ini ialah pembangkang belum sembuh, malah masih bergelut untuk berdiri tegak.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Calon Ijazah Kedoktoran, Kepimpinan Wanita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×