APABILA menyentuh mengenai penyakit mental, ramai beranggapan masalah ini hanya boleh dirawat dengan perubatan moden kerana kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kewujudan rawatan menggunakan kaedah Islam.
Hakikatnya rawatan penyakit mental sudah lama bertapak dalam Islam. Malah isteri Rasulullah SAW, Aishah adalah antara Muslim terawal yang mengenalpasti dan merawat penyakit mental dengan menyediakan hidangan khas yang dipanggil Talbiah iaitu sup yang diperbuat daripada barli, susu dan madu.
Talbiah digunakan untuk merawat mereka yang mengalami anxiety atau kegelisahan, depresi atau tekanan dan kesedihan akibat kehilangan orang disayangi (psikosis). Malah Nabi Muhammad SAW bersabda, Talbinah membantu merawat jiwa dan mengatasi kesedihan dan tekanan.
Pakar Psikiatri Klinikal di Universiti Stanford, Amerika Syarikat, Prof. Dr. Rania Awaad berkata, rawatan bagi mengatasi penyakit mental sudah diamalkan beberapa cendekiawan Islam seperti Abd Hamid Al Ghazali (510 Hijrah/1111 Masihi) iaitu ahli fiqh, mistik dan seorang daripada ahli falsafah terhebat Islam yang menghuraikan penyakit rohani hati dan menekankan pentingnya memahami emosi.
“Al-Ghazali menggalakkan umat Islam menyucikan hati mereka melalui pemahaman mendalam mengenai emosi dan perilaku mereka, serta mengambil langkah-langkah untuk memperbaiki diri dari dalam. Beliau menganggap kebahagiaan sejati hanya akan dicapai apabila seseorang itu berjaya menyembuhkan hati dan rohaninya.
“Ulama abad kesembilan (322 Hijrah/934 Masihi) iaitu Abu Zayd Al Bakhi adalah yang pertama mendefinisikan perubatan psikologi membezakan antara penyakit neurosis dan psikosis. Beliau mengkategorikan neurosis kepada empat gangguan emosi, kebimbangan, ketakutan, kemarahan, kemurungan dan percaya pada hubungan langsung minda badan dan jiwa.
“Al Razi, doktor dan ulama terkenal dari Baghdad memperjuangkan rawatan manusia secara mental, menggalakkan analisis dan kesedaran diri, maklum balas dan fokus pada seni penyembuhan menerusi rawatan terperinci penyakit moral dan psikologi,” katanya.
Dr. Rania berkata demikian pada syarahan umum bertajuk, Strong Roots Leads to Blossom Fruits, dianjurkan oleh Unit Tulus Jabatan Psikiatri, Hospital Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, baru-baru ini.
Beliau juga Pengarah Stanford Muslim Mental Health and Islamic Psychology Lab terkenal dalam kepakaran psikologi Islam, turut melancarkan bukunya yang berjudul ‘Maritans and Islamic Psychology’.
Stigma dan halangan
Stigma adalah isu yang amat berbahaya, terutama dalam masyarakat yang sering kali melihat masalah kesihatan mental sebagai sesuatu memalukan.
Dr. Rania berkata, stigma ini bukan sahaja menambah beban mental kepada individu yang terbabit tetapi juga mengekang mereka daripada mendapatkan bantuan yang diperlukan.
“Apabila stigma dibiarkan berkembang, ia meletakkan rasa malu dan ketakutan dalam fikiran mereka yang paling terdedah dengan isu kesihatan mental. Akibatnya, golongan itu mungkin berasa lebih selamat menyembunyikan apa yang mereka hadapi daripada mencari rawatan.
“Ini sering menyebabkan mereka menderita dalam diam, tanpa sebarang sokongan untuk pulih. Keadaan ini dalam jangka masa panjang, tidak hanya memudaratkan kesihatan mental individu terbabit tetapi juga memburukkan sosial masyarakat, “katanya.

Katanya, dalam konteks ini, bidang psikologi Islam moden memainkan peranan sangat penting, terutamanya bagi umat Islam yang mencari rawatan bersesuaian dengan prinsip agama mereka.
Namun, terdapat pelbagai halangan bagi umat Islam hari ini untuk terbabit dalam psikologi arus perdana moden. Satu daripada cabaran utama adalah perbezaan asas metodologi yang digunakan dalam psikologi moden dengan pandangan dunia Islam.
“Psikologi arus perdana berpegang kepada asas sekular dan materialistik yang tidak selari dengan pandangan dunia Islam yang melihat wahyu sebagai sumber kebenaran serta panduan muktamad.
“Ramai umat Islam berasa ketidakselesaan dalam menerima psikologi arus perdana kerana ia sering mengabaikan atau menolak sumber ilmu dan penyembuhan yang berakar dalam prinsip-prinsip Islam,” katanya.
Sejak tahun 1970-an, terdapat usaha yang lebih tersusun dalam kalangan intelektual Islam untuk membangunkan teori psikologi berasaskan prinsip Islam. Tujuannya adalah menggabungkan pendekatan psikologi moden dengan nilai-nilai Islam yang menekankan keselarasan antara minda, tubuh dan roh.
Katanya, psikologi sebagai disiplin ilmu berasingan mula berkembang pada awal abad ke-19 dalam dunia yang sebahagian besarnya dipengaruhi oleh ideologi sekular dan kolonialisme.
“Keadaan ini membawa kepada pengasingan pemahaman mengenai psikologi daripada pandangan dunia yang lebih spiritual. Bagi umat Islam, ideologi sekular ini bukan sahaja mencabar pandangan agama tetapi juga menjadi halangan fizikal untuk mereka membabitkan diri secara akademik dan terapeutik dalam bidang psikologi.
“Kekurangan infrastruktur dan keyakinan dalam mengintegrasikan kaedah kajian empirikal atau rasional dengan prinsip Islam adalah antara cabaran terbesar yang perlu dihadapi, “ katanya.
Walaupun terdapat usaha untuk memperkenalkan pendekatan yang lebih menyeluruh, masih banyak cabaran perlu diatasi untuk memastikan psikologi Islam dapat diterima secara meluas dalam kalangan umat Islam.
Stigma terhadap kesihatan mental dan halangan terhadap penerimaan psikologi Islam moden adalah isu yang memerlukan perhatian yang lebih mendalam.
Terdapat keperluan mendesak untuk mengatasi stigma dengan memberikan pendidikan yang lebih luas mengenai kesihatan mental dan menyediakan sokongan yang bersesuaian, terutamanya dalam konteks agama.
Usaha untuk membangunkan psikologi berasaskan prinsip Islam perlu diteruskan supaya umat Islam dapat menerima rawatan yang lebih holistik dan sesuai dengan nilai-nilai agama mereka, tanpa perlu merasakan tekanan atau rasa malu.
Psikologi Islam dan kepentingan kesihatan mental dalam Islam
Psikologi adalah bidang ilmu yang mengkaji tingkah laku dan proses mental manusia. Dalam dunia moden hari ini, psikologi sering didekati dengan pendekatan sekular yang menekankan kajian secara empirikal dan rasional semata-mata.
“Psikologi moden lebih tertumpu kepada aspek minda dan badan yang sudah beralih daripada pendekatan falsafah berkaitan jiwa. Namun, Islam mempunyai kerangka psikologi tersendiri, dikenali sebagai Psikologi Islam yang bukan sahaja menggabungkan sumber empirikal dan rasional, malah turut menggunakan sumber seperti al-Quran dan al-Sunnah.
“Psikologi Islam menawarkan pendekatan lebih menyeluruh terhadap manusia yang bukan sahaja aspek fizikal, malah turut merangkumi metafizik dan rohani. Ini menunjukkan dalam Islam, kesihatan mental dan kesejahteraan jiwa tidak boleh dipisahkan daripada aspek kerohanian dan hubungan dengan Pencipta,” katanya.
Pendekatan ini lebih holistik, sejajar dengan ajaran Rasulullah SAW yang mementingkan keseimbangan dalam kehidupan.
Beberapa pengalaman nabi menunjukkan penggunaan kaedah penyembuhan holistik bukanlah sesuatu yang asing dalam Islam. Rasulullah juga mengajarkan para sahabatnya untuk menjaga ibadah, kesihatan diri dan hubungan sosial.
Sebagai contoh, apabila seorang daripada sahabat berhasrat mengabdikan seluruh hidupnya untuk beribadah, Salman al-Farisi (r.a) menasihatinya dengan berkata:
“Tuhanmu mempunyai hak terhadapmu, dan dirimu sendiri mempunyai hak terhadapmu, dan keluargamu mempunyai hak terhadapmu. Jadi, berikanlah setiap haknya.”
“Nabi membenarkan kata-kata Salman dan menyokong pendekatan kesejahteraan holistik berkenaan. Mesej penting yang perlu difahami di sini ialah kesihatan mental perlu diutamakan dan diberi pertimbangan yang sama seperti kesihatan fizikal.
“Dalam masyarakat hari ini, kesihatan mental sering dipandang ringan. Islam, sebaliknya, menekankan keseimbangan antara jasmani, rohani, mental dan sosial adalah asas kepada kehidupan yang sihat dan harmoni, “ katanya.
Psikologi Islam memberikan panduan menyeluruh terhadap kesejahteraan manusia dengan menggabungkan akal, wahyu dan pengalaman hidup. Ia bukan sahaja menawarkan pemahaman mengenai jiwa manusia tetapi juga memberi penekanan kepada keseimbangan dalam setiap aspek kehidupan.
Dalam era moden ini, pendekatan Islam terhadap psikologi dan kesihatan mental adalah lebih relevan daripada sebelumnya.
Pendekatan kenabian
Kesihatan mental adalah aspek penting dalam kehidupan setiap individu, termasuk para nabi yang merupakan contoh teladan terbaik bagi manusia. Realitinya, para nabi juga menghadapi cabaran emosi dan psikologi yang berat.
Ini membuktikan kesedihan, tekanan, dan penderitaan mental bukanlah tanda kelemahan iman, bahkan ia adalah sebahagian daripada fitrah manusia.
Para nabi tidak kebal daripada cabaran psikologi. Nabi Muhammad SAW sendiri mengalami banyak kesedihan dan tekanan dalam hidupnya; “Tahun Kesedihan” dikenali sebagai satu tempoh paling sukar dalam hidupnya di mana beliau kehilangan isteri dan bapa saudaranya yang tercinta.
Nabi Ya’qoub menderita tempoh kesedihan yang panjang setelah berpisah dengan anaknya, Yusuf. Al-Quran menggambarkan kesedihan Ya’qoub yang membawa kepada kelemahan penglihatan dan kebutaannya
Namun, dalam keadaan itu, Nabi Ya‘qub terus bersabar dan tidak pernah hilang kebergantungan kepada Allah SWT.
Kisah-kisah ini menunjukkan kesihatan mental bukanlah perkara yang harus dipandang ringan atau dianggap aib.
Para Nabi menunjukkan pendekatan yang seimbang dalam menangani tekanan, iaitu dengan menyatakan perasaan secara jujur, menangis, berdoa, bersabar dan tidak menyalahkan takdir.
Kesimpulannya, pendekatan kenabian terhadap kesihatan mental memberi kita panduan mengalami kesedihan dan tekanan bukan bermakna seseorang itu lemah atau kurang iman.
Sebaliknya, ia membuka ruang untuk kita mendekatkan diri kepada Tuhan, mendapatkan sokongan, dan membina kekuatan dalaman.










