GEORGE TOWN: Sejak dirasmikan penghujung tahun lalu, Jambatan Andaman Gurney di sini pantas mencuri perhatian umum. Dianggap ‘jambatan ketiga’ Pulau Pinang, binaan sepanjang kira-kira 1.2 kilometer itu merupakan pintu masuk utama ke Pulau Andaman, sebuah projek tambakan milik syarikat hartanah terkemuka, Eastern & Oriental (E&O) Berhad.
Bagaimanapun, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, sejak elemen ikonik di Gurney Bay ini dibuka, perbuatan membuang sampah dan meletakkan kenderaan di tepi jalan mencacatkan pemandangan, lebih-lebih lagi ia tidak dibenarkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Tiada tindakan undang-undang diambil kerana penguat kuasa hanya menasihati pengunjung mengubah kenderaan mereka semasa rondaan berkala memandangkan kawasan tersebut masih belum diwartakan sepenuhnya.
Selain isu meletak kenderaan, kebersihan jambatan turut menjadi perhatian, terutama selepas sambutan Tahun Baharu 2026.
Longgokan sampah dilaporkan ditinggalkan begitu sahaja walaupun jambatan ditutup sebelum pukul 12 tengah malam.
Seorang pengunjung, Muhammad Ali Reza Abdullah, 36, melahirkan rasa kecewa terhadap sikap sesetengah pengunjung.
“Kalau perbuatan itu dilakukan oleh rakyat Malaysia dan dilihat pelancong luar, imej Pulau Pinang akan tercemar. Cantik jambatan, tapi pengunjungnya pengotor,” katanya.
Sharifah Rodziah Syed Akhir, 49, pula menyeru pengunjung lebih bertanggungjawab ketika meletakkan kenderaan dan menikmati makanan di jambatan.
“Masuk tahun baharu, elakkan menjadi buah mulut kerana sikap pentingkan diri sendiri,” katanya.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow ketika merasmikan pembukaan jambatan itu berkata, Jambatan Andaman Gurney menjadi mercu pembangunan di bahagian utara Pulau Pinang sekali gus sebagai simbol langkah besar negeri itu menuju ke arah pembangunan yang lebih tersusun.
Jambatan ini bukan dibina untuk menambah kesesakan, sebaliknya, bertujuan mengurangkan tekanan trafik di koridor utara Pulau Pinang dengan menyediakan laluan alternatif bagi menghubungkan Gurney Drive ke komuniti baharu di Pulau Andaman.
Dalam pada itu, jurucakap E&O ketika dihubungi Utusan Malaysia memaklumkan, jambatan tersebut dibuka kepada orang awam setiap hari, namun, ia ditutup dari pukul 11 malam hingga 6 petang.
“Ya, jalan masuk ke jambatan ini dari bulatan tersebut (Persiaran Gurney) dibuka kepada orang ramai, namun terdapat palang automatik dan pondok pengawal di situ yang menghubungkannya ke Pulau Andaman.
“Jadi, akses selepas kawasan ini masih dikawal kerana merupakan kawasan persendirian.
“Pihak pengurusan masih tertakluk kepada waktu operasi itu (ditutup antara pukul 11 malam hingga 6 petang) sehingga diputuskan kerajaan negeri,” katanya. – UTUSAN










