PETALING JAYA:Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) merekodkan eksport digital berjumlah RM6.8 bilion antara 2024 dan separuh pertama 2025, didorong oleh program Pusat Kecemerlangan Pengasas (FOX) serta Program Gerbang, Perkasakan, Labur & Asuh (GAIN).
Program-program itu direka untuk menyokong syarikat digital Malaysia yang berpotensi tinggi dalam mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa, mendapatkan modal pertumbuhan, dan membina daya saing yang lestari.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, hasil eksport kukuh itu menunjukkan kesiapsiagaan Malaysia untuk memimpin dalam ekonomi digital global, berpandukan polisi yang jelas dan kerjasama awam-swasta yang berkesan.
“Pertumbuhan eksport digital Malaysia mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap polisi, bakat dan infrastruktur digital negara kita.
“Semasa kita bergerak ke arah menjadi Negara AI menjelang 2030, keutamaan kita adalah memastikan inovasi diterjemahkan kepada nilai ekonomi sebenar melalui eksport, penciptaan pekerjaan berkualiti tinggi dan pertumbuhan lestari.
“Hasil ini menunjukkan bahawa syarikat digital Malaysia semakin bersedia untuk bersaing dan berjaya di peringkat global,” katanya dalam kenyataan.
Pada 2024 sahaja, Malaysia menjana RM4.2 bilion dalam eksport digital, dipacu oleh 325 syarikat yang beroperasi di 27 negara.
Momentum itu berterusan pada separuh pertama 2025 dengan eksport digital mencapai RM2.6 bilion, disokong oleh 350 syarikat yang mengembangkan perniagaan ke 39 pasaran di seluruh dunia.
Menariknya, syarikat berasaskan kecerdasan buatan (AI) menyumbang kira-kira 50 peratus daripada jumlah eksport digital, menekankan kebolehan Malaysia yang semakin berkembang dalam teknologi digital canggih.
Petunjuk prestasi yang kukuh itu dijangka berterusan ke separuh kedua 2025, seterusnya memperkukuh skala, daya saing, dan ketahanan ekosistem digital Malaysia.
Selain pertumbuhan eksport, program FOX yang direka untuk mempercepatkan penilaian syarikat telah menerima 43 syarikat berpotensi tinggi, melibatkan 20 rakan strategik dan melaksanakan 51 program terancang serta inisiatif fasilitasi, disokong oleh lebih daripada 300 intervensi yang disasarkan.
Usaha itu menyumbang kepada penilaian gabungan sebanyak AS$3.15 bilion (RM12.78 bilion) di kalangan syarikat peserta, termasuk kemunculan satu lagi unicorn Malaysia, menekankan kematangan ekosistem yang semakin meningkat dan relevan secara global.
Program-program ini juga membolehkan akses kepada modal pertumbuhan, termasuk sembilan laluan penyenaraian awam awal (IPO).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, hasil itu mencerminkan evolusi MDEC sepanjang tiga dekad, daripada pembina ekosistem kepada penggerak skala global, seterusnya memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab digital dan inovasi serantau.
“Prestasi eksport digital yang kukuh dicapai sepanjang dua tahun lepas menunjukkan bagaimana fasilitasi yang disasarkan, akses pasaran yang diperluas, dan sokongan pembiayaan boleh mempercepatkan syarikat Malaysia Digital (MD) untuk berkembang dengan lebih pantas, bersaing dengan yakin dan menubuhkan kehadiran global yang lestari,” katanya.
Eksport digital Malaysia diagihkan merentasi beberapa wilayah utama, dengan ASEAN menyumbang 60 peratus diikuti oleh Asia Barat, Amerika, Eropah, dan pasaran lain masing-masing menyumbang 10 peratus. – UTUSAN










