Sambut mesra kehadiran pelancong dari luar negara

Sambut mesra kehadiran pelancong dari luar negara

TAHUN Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) dijangka mampu meningkatkan ketibaan pelawat, menjana peluang pekerjaan serta memperkukuh imej negara di peringkat antarabangsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOURISM Malaysia menyambut ketibaan tahun baharu dengan penganjuran sambutan khas di pintu masuk antarabangsa dan hab pengangkutan utama negara bagi mengalu-alukan ketibaan pelawat bersempena pelancaran rasmi Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026). 

Kempen ini bukan sekadar sebuah kempen pelancongan, sebaliknya merupakan gerakan nasional yang mencerminkan semangat perpaduan, keharmonian, kemesraan serta kepelbagaian kaum dan budaya di negara kita. 

Sambutan ketibaan pelawat pada hari pertama tahun ini melambangkan komitmen Malaysia dalam menawarkan pengalaman pelancongan yang inklusif, kreatif dan mesra pengunjung sepanjang tahun ini.

Penajaan dalam bentuk baucar, produk makanan dan minuman, cenderamata serta diskaun pusat tarikan memberi tambah nilai  terhadap pengalaman ketibaan pelawat, sekali gus melambangkan kesiapsiagaan Malaysia dalam menyambut kunjungan pelancong dari seluruh dunia. 

Kalendar acara TMM2026 turut diperkenal yang menampilkan lebih 300 program dan acara sepanjang tahun merangkumi elemen seni dan budaya, warisan serta kepelbagaian kaum melalui sambutan dan tradisi perayaan di Malaysia. 

Antara acara utama yang diketengahkan ialah Festival Tahun Baharu Cina, Festival Aidilfitri, Festival Deepavali, Festival Krismas serta  keunikan perayaan tradisi tempatan seperti Pesta Kaamatan (Tadau Kaamatan) dan Pesta Gawai. 

Menerusi kempen TMM2026, Malaysia menyasarkan menarik 43 juta pelawat antarabangsa, selari usaha berterusan memperkukuh sektor pelancongan sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara. 

Momentum positif ini diperkukuh prestasi ketibaan pelawat antarabangsa yang memberangsangkan dari Januari hingga November 2025 dengan jumlah 38.3 juta pelawat antarabangsa. 

Berteraskan lagu tema Surreal Experiences, kempen TMM2026 akan menampilkan rangkaian program yang meriah sepanjang tahun merangkumi festival, acara kebudayaan, pameran dan sambutan komuniti yang direka khas bagi memukau serta menarik pelawat dari seluruh dunia. 

TMM2026 dijangka mampu meningkatkan ketibaan pelawat, menjana peluang pekerjaan serta memperkukuh imej negara di peringkat antarabangsa. 

Selain itu, kempen ini juga akan memberi manfaat kepada perkembangan ekonomi komuniti setempat sambil menyokong kemajuan pelbagai sektor berkaitan termasuk pengangkutan, peruncitan, kraftangan serta industri kecil dan sederhana (IKS) yang lain.-UTUSAN

 

TOURISM MALAYSIA

Putrajaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×