Tujuh polis disiasat dadah diarah buat kerja pejabat 

Tujuh polis disiasat dadah diarah buat kerja pejabat 

YAHAYA Othman menyampaikan sijil penghargaan kepada anggota dan akitangan awam sempena Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu pejabat Polis Kontijen (IPK) Pahang, di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Tujuh anggota polis termasuk dua pegawai yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah di Mentakab, Temerloh Ahad lalu, diarah menjalankan kerja di pejabat sehingga siasatan selesai.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, tindakan wajar diambil sekiranya mereka didapati bersalah namun setakat ini siasatan lanjut masih dijalankan.

“Saya sangat sedih dengan perkara ini. Cuma kita tidak berkompromi atau sifar toleransi kepada mereka yang terlibat. Kita tidak mahu seperti ‘harapkan pegar, pegar makan padi’. Sebagai benteng pertahanan, kita tidak mahu ada anggota polis  terlibat dalam penyalahgunaan dadah ini. 

“Jadi kita akan mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka namun kes ini masih lagi dalam siasatan lanjut,” Katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini hari ini.

Menurut Yahaya, berdasarkan statistik sepanjang tahun lalu, seramai 21 pegawai dan anggota polis di negeri ini terlibat dalam kes berkaitan dadah, dengan 12 daripadanya dibuang kerja.

“Tindakan tegas itu membuktikan kesungguhan kita dalam membersihkan pasukan daripada unsur yang boleh mencemarkan imej dan kepercayaan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat kajian bagaimana masalah berkenaan tetap berlaku walaupun pemantauan berterusan dilakukan termasuk ujian saringan air kencing secara berkala untuk setiap pegawai dan anggota. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×