KELANA JAYA: Kegiatan sindiket pengedaran dadah menyimpan bahan terlarang itu di dalam kenderaan sebelum diedarkan secara kecil-kecilan terbongkar selepas pemeriksaan ke atas sebuah Perodua Bezza yang diparkir di kawasan pangsapuri di Taman Desa Petaling, Selangor baru-baru ini.
Serbuan kira-kira pukul 3 pagi dijalankan sepasukan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur.
Pengarah Kastam Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud berkata, pemeriksaan di dalam kenderaan itu menemukan bungkusan dalam dua beg runcit berisi bahan berbentuk kristal disyaki syabu di tempat duduk belakang.
“Dadah disyaki syabu seberat 11.031 kilogram (kg) bernilai RM352,992 itu disyaki untuk pasaran tempatan.
“Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an merupakan pemilik kenderaan kemudian telah ditahan untuk membantu siasatan,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kastam Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti peranan suspek atau mengesan sama ada Perodua Bezza itu disewakan kepada individu lain.
Tambahnya, dadah itu dipercayai dibawa masuk dari negara luar sebelum dijual secara kecil-kecilan.
“Taktik menyimpan dadah dalam kenderaan di parkir awam itu bagi mengelakkan kecurigaan penduduk setempat,” ujarnya.
Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan seperti rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat,” katanya. – UTUSAN










