KITA kini sudah berada dalam tahun 2026. Kalau kita menyingkap perkembangan industri kreatif negara, maka ia menjadi salah satu daripada sub-sektor dalam ekonomi negara yang juga menyumbang terhadap Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
Statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Negara (DoSM) menyatakan sumbangan industri ini adalah kecil terhadap KDNK negara. Pada tahun 2019, DoSM mencatatkan hanya 1.9 peratus sumbangan daripada industri kreatif kepada KDNK negara.
Peratusan sumbangan ini dilihat masih kecil jika dibandingkan dengan negara jiran yang menyumbang purata empat hingga tujuh peratus daripada industri kreatif terhadap KDNK negara mereka. Industri kreatif di Malaysia mempunyai pemegang taruh yang berbagai dan datang dari kementerian yang berbeza-beza.
Jika dilihat sejarah perkembangan industri kreatif di Malaysia, pada tahun 2009, Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) telah digubal secara rasminya sebagai satu dasar yang mengemudi dan menjadi dasar utama untuk pembangunan industri kreatif.
Dasar yang digubal oleh kerajaan Malaysia ini pada asalnya merujuk kepada Department for Digital, Culture Media and Sports (DCMS) dari United Kingdom yang merupakan pelopor penggubal dasar untuk sektor industri kreatif.
Aktiviti industri kreatif terutamanya penghasilan kandungan audio-visual seperti filem dan drama di Malaysia sangat mengharapkan dana kerajaan (FINAS) untuk berfungsi.
Penulis pernah membuat tinjauan di sebuah pusat kreatif yang dinamakan Content Korea Lab Jeju yang terletak di Pulau Jeju, Korea Selatan berkaitan perkembangan teknologi perfileman dan animasi.
Apa yang diusahakan di makmal ini adalah memberi peluang untuk perusahaan kecil atau start-up untuk memulakan projek pra-produksi, produksi dan pasca produksi.
Dan apa yang lebih menarik, untuk menggunakan fasiliti ini adalah percuma dan hak milik hak cipta adalah milik pengkarya sepenuhnya! Siapa sangka di sebuah pulau yang terkenal dengan produk pelancongan dan alam semula jadi mempunyai pusat teknologi untuk pembangunan harta intelek bagi Korea Selatan.
Korea Selatan adalah sebuah negara yang tidak asing lagi dalam perkembangan teknologi perfileman dan animasi sehingga produk mereka dikenali ke serata dunia dengan nama jolokan The Korean Wave yang telah mempengaruhi banyak aspek selain dari industri hiburan seperti pelancongan, makanan dan fesyen.
Setelah 17 tahun berlalu penggubalan DIKN, adakah ekuiti kekayaan dari hasil kemajuan industri kreatif kerana berlaku perkembangan pesat dalam teknologi yang pelbagai itu telah disebarkan dengan seimbang?
Adakah para freelancers kita yang tidak mempunyai slip gaji mampu membeli rumah pertama mereka?
Adakah pemain layar dan penulis skrip kita mampu menghasilkan karya-karya hebat sepanjang tahun seperti blockbuster Mat Kilau atau animasi Upin-Ipin? Menjawab persoalan ini, terkini gelombang kecerdasan buatan (AI) pula yang akan menjadi perhatian semua industri dan bakal menggantikan banyak tenaga kerja negara terutamanya dalam sektor teknologi kreatif seperti yang kita lihat dalam filem Duyong: Lagenda Aurora.
Justeru, bersediakah kita akan perubahan yang bakal berlaku nanti? Seharusnya pihak kerajaan, akademia serta industri duduk semeja dan mencari resolusi untuk memantapkan DIKN bagi usaha mendepani cabaran revolusi teknologi demi meningkatkan lagi sumbangan KDNK industri kreatif negara. – UTUSAN
DR. Siti Fariza Mohamad Isa ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Komunikasi dan Media, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).










