PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada pasukan perubatan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) atas kejayaan bersejarah melaksanakan pemindahan hati kepada bayi berusia empat bulan seberat 6.2 kilogram (kg).
Beliau berkata, pencapaian itu mencerminkan tahap kepakaran, profesionalisme serta dedikasi tinggi warga kesihatan negara khususnya dalam menangani prosedur yang amat kompleks dan berisiko tinggi.
“Kepakaran warga kesihatan negara jelas terbukti melalui pelaksanaan prosedur yang amat kompleks dan berisiko tinggi itu,” katanya menerusi hantaran di X hari ini.
Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memaklumkan bahawa bayi berkenaan menjalani prosedur pemindahan hati daripada ibunya pada 25 November lalu.
Beliau berkongsi beberapa minit sebelum prosedur bermula di mana jantung bayi itu berhenti mengejut hingga menjadikan suasana di ICU Pediatrik amat cemas.
“Dia collapse secara tiba-tiba. Pasukan perubatan bertungkus-lumus melakukan resusitasi selama satu jam yang penuh debaran. Nyawa anak kecil ini benar-benar di hujung tanduk.
“Di sinilah kehebatan sebenar pasukan perubatan kita teruji. Bukan sahaja mereka berjaya menstabilkan bayi tersebut, malah dengan clinical judgement yang tajam dan berani, mereka membuat keputusan berat untuk meneruskan pembedahan.
“Risikonya amat tinggi kerana pembuluh darah bayi seberat 6.2 kg sangat halus. Namun, berkat kepakaran pakar bedah, pakar bius, dan jururawat kita, pembedahan pemindahan hati itu berjaya,” katanya. – UTUSAN











