Reformasi mesti adil, berintegriti - PM

Reformasi mesti adil, berintegriti – PM

ANWAR Ibrahim bersama pemimpin dan ahli PKR Selangor dalam majlis Hari Keluarga dan Rapat Reformis Kebangsaan 2026 di Bukit Beruntung Golf Resort, Rawang, Selangor, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT BERUNTUNG: Kerangka reformasi menuntut perubahan sistem agar menjadi lebih adil, telus dan berintegriti demi kepentingan rakyat serta negara, bukan untuk perjuangan individu tertentu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lantikan menteri dan kedudukan yang dikecapi hari ini adalah hasil pengorbanan panjang akar umbi dan rakan seperjuangannya terdahulu yang mempunyai semangat kental.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, Kerajaan Perpaduan tidak memiliki majoriti mutlak, justeru pendekatan lebih matang dan berhati-hati penting dalam membuat keputusan.

“Perjuangan ini tidak pernah berkisar tentang seorang menteri atau beberapa individu sahaja.

“Apa yang kami tuntut ialah perubahan kepada sistem islah supaya ia menjadi lebih adil,” katanya ketika berucap dalam Hari Keluarga dan Rapat Reformis Kebangsaan 2026 di Bukit Beruntung Golf Resort, di sini semalam.

Anwar berkata, kerangka reformasi di negara ini perlu dilaksanakan secara waras dan bijaksana, bukan secara melulu.

Selain itu, katanya, langkah mentadbir dan melaksanakan reformasi perlu dilakukan menerusi rundingan dan musyawarah dalam kalangan pimpinan semua parti yang disifatkan bukan sesuatu yang mudah.

Katanya, ini kerana setiap pemimpin mempunyai perjuangan dan keutamaan mereka.

“Ini bukan mudah kerana masing-masing parti ada keutamaan mereka, jadi kita harus mengemudi dengan bijak.

“Tapi satu hal yang tidak boleh kita sangkal, kita tegak untuk bawa perubahan, tolak rasuah, penyelewengan dan keangkuhan,” katanya.

Anwar dalam masa sama turut menggesa semua kepemimpinan parti diperkukuhkan sebagai persediaan menghadapi sebarang pertikaian selain perubahan.

“Kita (perlu) buat perubahan yang dibangkitkan. Tapi soal kaum yang ditakutkan soal (agenda) orang Cina. Dia fikir saluran Malaysia ini masalah sekolah Cina sahaja, tiada isu lain.

“Sesetengah orang India pun begitu. Sebab itu kita harus ajak Melayu, Cina, India, Sabah, Sarawak boleh bawa isu mereka. Tetapi perlu lihat dalam kerangka besar Malaysia baharu, agar negara ini selamat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×