Pas teraju PN, calon diputus minggu depan

Pas teraju PN, calon diputus minggu depan

ABDUL HADI AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Pas memutuskan akan menerajui Perikatan Nasional (PN) susulan peletakan ja­watan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi gabungan itu.

Sehubungan itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ber­kata, PN akan mengadakan mesyuarat minggu depan bagi memilih Pengerusi baharu dalam kalangan pemimpin Pas.

Beliau berkata, Pas sudah membuat keputusan mengambil alih kepemimpinan PN dan perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat yang disertai wakil gabungan tersebut termasuk daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan calon yang bakal diketengahkan Pas dengan menyatakan parti itu mempunyai ramai pemimpin berkelayakan terdiri dalam kalangan ahli politik dan teknokrat.

“Pas akan ambil alih kepemimpinan PN. Kita akan bincang dalam mesyuarat PN yang ma­sih ada anggotanya. Kita akan bincang secepat mungkin. Mungkin minggu depan.

“(Calon Pengerusi) daripada Pas insya-Allah,” katanya selepas menyampaikan kuliah di Masjid Rusila di sini, semalam.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau sedia mengambil alih jawatan berkenaan, Abdul Hadi berkata: “Memang saya ini orang kata dalam keadaan keuzuran, tetapi kita akan bincang dalam parti. Ada orang dalam Pas banyak, dalam kalangan ahli politik dan teknokrat ada.”

Selain Abdul Hadi, pe­mimpin Pas lain yang disebut-sebut sesuai memegang jawatan itu adalah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang juga Ke­tua Pengarah Pilihan Raya Pas; Timbalan

Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mengenai tindakan ke atas tiga wakil rakyat Pas yang digugurkan keahlian selepas dikatakan menandatangani aka­un berkanun (SD) tidak menyokong kepemimpinan bekas Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli, Abdul Hadi ber­kata, tindakan menggugurkan keahlian ke atas mereka sudah dikenakan.

“Berdasarkan perlembagaan negeri, tiga wakil rakyat yang dipecat keahlian parti perlu digugurkan daripada Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN),” katanya.

Ditanya mengenai Muafakat Nasional (MN), katanya, agenda Pas adalah hendak menya­tukan orang Melayu, orang Islam dan orang bukan Islam yang tidak ekstrem.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, kepimpinan ter­tinggi Pas belum memutuskan calon daripada parti itu untuk mengetuai PN.

“Belum dibincangkan perkara itu (calon Pengerusi PN). Pas akan bermesyuarat bulanan pada Sabtu depan iaitu rutin minggu kedua setiap bulan.

“Di pihak PN pula saya percaya mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat. Tetapi sebelum itu di peringkat parti masing-masing dalam gabungan PN juga akan bermesyuarat terlebih dahulu,” katanya di sini semalam.

Muhammad Sanusi ketika dihubungi Utusan Malaysia pula menolak cadangan pelbagai pihak yang mahu beliau sebagai Pengerusi PN menggantikan Muhyiddin.

Katanya, ada calon yang le­bih layak daripadanya dan beliau sendiri akan menamakan Ahmad Samsuri untuk meme­gang jawatan tersebut.

“Saya tak setuju kalau saya, ada calon lain lebih layak. Saya setuju kalau Dr. Ahmad Samsuri jadi Pengerusi PN,” kata­nya.

Kata Muhammad Sanusi, beliau konsisten menolak jawatan itu, malah meyakini karakter Ahmad Samsuri lebih sesuai untuk menerajui PN.

“Semua yang ada pada dia adalah kriteria itu. Ya (saya akan tolak) dan saya akan cadangkan Dr. Sam (Ahmad Samsuri),” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN