Lubang benam buat ramai petani Turkiye trauma - Utusan Malaysia

Lubang benam buat ramai petani Turkiye trauma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RATUSAN lubang benam yang muncul di kawasan pertanian tengah Turkiye menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan petani dan pakar alam sekitar yang melihatnya sebagai petanda bahaya perubahan iklim.

Fenomena alam itu berlaku akibat kekurangan hujan dan paras air bawah tanah yang semakin menurun.

Lubang-lubang besar memenuhi ladang tanaman jagung, gandum, dan bit gula di Karapinar, wilayah Konya, dengan lebih 10 lubang terkumpul dalam satu kawasan ladang.

Di kawasan berbukit, lubang-lubang besar purba yang sebelum ini dipenuhi air kini sebahagian besarnya sudah mula kering.

Menurut Pakar Geologi dan Pengarah Pusat Penyelidikan dan Aplikasi Lubang Benam Universiti Teknikal Konya, Prof. Dr. Fetullah Arik, kadar pembentukannya di lembangan Konya meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan jumlahnya kini hampir mencapai 700.

“Punca utama peningkatan ini adalah perubahan iklim dan kemarau, yang menjejaskan seluruh dunia sejak tahun 2000-an.

“Akibat kemarau ini, paras air bawah tanah menurun sedikit demi sedikit setiap tahun,” katanya.

Jelasnya, kadar penurunan paras air bawah tanah kini mencapai empat hingga lima meter setahun, berbanding setengah meter setahun pada tahun 2000-an, mencetus kebimbangan besar dan trauma dalam sektor pertanian utama Turkiye.

Kemarau dan penurunan  paras air bawah tanah mendorong petani tempatan menggali lebih banyak telaga, banyak daripadanya tidak berlesen yang seterusnya mengurangkan paras air dan memburukkan masalah ini.

“Terdapat juga permintaan air yang sangat tinggi di lembangan Konya ini. Terdapat kira-kira 120,000 telaga tidak berlesen berbanding sekitar 40,000 telaga berlesen,” katanya.

Walaupun lubang-lubang baru ini belum menyebabkan sebarang kematian setakat ini, sifatnya yang tidak dapat diramalkan menimbulkan risiko terhadap nyawa dan harta benda penduduk tempatan.

Dua lubang benam muncul di ladang milik seorang petani di Karapinar, Mustafa Sik dalam dua tahun kebelakangan ini.

Abangnya hanya berada beberapa jarak dari situ ketika bekerja di ladang pada Ogos 2024 ketika lubang kedua terbentuk dengan bunyi umpama guruh yang sangat kuat dan menakutkan.

Lapor Reuters, kajian oleh pakar geologi di tanah Sik menemui dua lagi kawasan yang berpotensi membentuk lubang benam walaupun masa kejadian tidak dapat diramalkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN