SIRI 2
Lamunan saya terhenti apabila terdengar suara riuh mengatakan jenazah arwah sudah sampai ke pekarangan rumah banglo dua tingkat itu. Saya dan beberapa penduduk kampung yang berada di situ bergegas keluar menuju ke halaman sambil memerhatikan kenderaan yang membawa jenazah menuju masuk ke garaj.
“Jom kita sama-sama tolong bawa jenazah masuk ke dalam rumah,” kata salah seorang ahli keluarganya di situ.
Sebaik sahaja pintu belakang kenderaan dibuka, kami semua terus membantu mengangkat pengusung yang berisi jenazah, namun entah kenapa hati saya tiba-tiba berdetik,
“Ya Allah, beratnya,” bisik saya dalam hati.
Berkerut wajah saya ketika itu, namun saya cuba berlagak selamba seolah-olah tiada apa yang berlaku. Saya toleh ke arah rakan-rakan lain, nampak seperti ada yang tersirat di benak mereka seolah merasai apa yang saya lalui ketika itu.
Ketika menyusun langkah menuju ke dalam rumah, entah kenapa tiba-tiba hidung saya menangkap aroma yang kurang menyenangkan. Bau seperti ikan busuk yang cukup meloyakan, namun saya tidak pasti dari mana datangnya bau itu, adakah dari jenazah yang kami bawa atau sebaliknya.
Sekali lagi saya toleh ke arah rakan lain, benar! Nampak mereka juga seperti saya kurang selesa sehinggakan hidung masing-masing kembang kempis seakan menahan nafas.
Kami meletakkan jenazah di tempat pembaringan yang disediakan di ruang tamu. Beberapa ahli keluarga arwah sudah mula memenuhi ruang tersebut. Masing-masing nampak seakan tidak sabar untuk menatap arwah buat kali terakhir.
“Ada bekas kemenyan tak? Kalau ada boleh bakar dan letakkan di sini,” kata salah seorang ahli keluarga arwah. Saya faham apa maksudnya, tujuannya tidak lain tidak bukan untuk menutup bau kurang enak dari jenazah tersebut.
Setelah penutup keranda dibawa pergi, tinggallah jasad arwah di ruang tamu. Saya dan beberapa tetamu tidak mahu tergopoh gapah untuk melihat jasad arwah, seeloknya biarlah ahli keluarganya dahulu berbanding kami.
“Allahuakbar,” kata salah seorang ahli keluarga arwah sebaik sahaja dia membuka kain yang menutupi tubuh arwah. Saya meninjau ingin tahu, namun tidak sempat untuk melihat apa-apa kerana dengan pantas dia menutup kembali kain tersebut. Wajahnya nampak terkejut dan tergamam seakan melihat sesuatu yang di luar jangkaan.
Isteri dan anak arwah kemudiannya menghampiri jenazah dan membuka kain batik yang menutupi jasad arwah. Saya lihat wajah isterinya tergamam seketika sebelum dia memanggil beberapa ahli keluarga yang lain untuk datang ke situ.
Kain yang menutupi jenazah dibuka, saya dapat lihat dengan jelas wajah dan tubuh arwah ketika itu. Allahuakbar, lain sungguh rupanya. Sangat berbeza dengan sisi arwah ketika hayatnya. Wajahnya sudah kehitaman, perutnya membusung daripada biasa malah beberapa anggota badannya juga sudah bengkak dan kembung.
Saya beristighfar beberapa kali. Memang pelik benar rupa mayat di hadapan saya ini. Saya tidak tahu mengapa jadi begitu, saya rasa setiap tetamu yang melihatnya juga berfikiran sama seperti saya. Masing-masing berfikir kenapa jasad arwah boleh jadi sebegitu rupa?
Bau busuk dan meloyakan itu sudah memenuhi segenap ruang di rumah dua tingkat itu. Beberapa tetamu yang berada di situ nampaknya sudah tidak mampu menunggu lama sehinggakan ada yang keluar untuk mengambil udara segar.
“Ustaz, boleh tak kalau kita kebumikan jenazah arwah secepat mungkin, kalau boleh malam ini juga,” kata isterinya kepada Ustaz Jamal yang berada di sebelah saya.
“Saya kasihan tengok arwah macam ini. Tidak sanggup saya hendak biarkan lama-lama. Lagipun kalaulah ada kenalannya atau penduduk kampung yang datang ziarah nanti pasti akan menjadi buah mulut, kasihan dekat arwah,” sambungnya lagi.
Ustaz Jamal mengangguk faham. Saya tahu apa yang bersarang di jiwanya ketika itu. Apa yang dikatakan oleh isteri arwah memang ada benarnya. Bukan mudah untuk menutup mulut orang, jadi jika ada jalan terbaik eloklah lakukan segera, sekurang-kurangnya boleh menjaga aib dan maruah keluarga si mati.
Ustaz Jamal menggamit Alang Kadir yang ada berdekatan. Dia membisikkan sesuatu. Saya lihat Alang kadir sekadar mengangguk tanpa sepatah kata. Tidak lama kemudian dia mengeluarkan telefon bimbit lantas menghubungi seseorang. Dari bicaranya, saya yakin dia menghubungi Abang Majid yang merupakan penggali kubur di daerah kami.
“Kalau macam itu saya minta semua ahli keluarga arwah yang nak lihat jenazah bolehlah lihat sekarang, kerana selepas mandikan, kita akan terus kafan dan kebumikan malam ini juga.
“Sementara kita siapkan tempat mandi jenazah ini, eloklah semua yang ada di sini buat bacaan yasin untuk kita sedekahkan kepada arwah,” kata Ustaz Jamal kepada semua yang berada di situ.
Bacaan yasin bergema di kediaman dua tingkat milik arwah. Sementara itu, beberapa ahli keluarga dan penduduk kampung mula menyiapkan tempat mandi jenazah.
Nasib baiklah segala kelengkapan seperti kain kafan, kapur barus, kapas dan sebagainya sudah disediakan awal, jika tidak susah juga untuk mencarinya pada waktu malam begini.
Setelah para tetamu selesai membaca yasin, kami membawa jenazah arwah untuk dimandikan. Sekali lagi berlakunya perkara pelik kerana setiap kali perutnya diurut dan ditekan setiap kali jugalah najisnya keluar tanpa henti. Kami semua berpandangan, namun Ustaz Jamal menenangkan kami, katanya itu adalah perkara biasa bagi mayat yang ingin dimandikan.
BERSAMBUNG










