AKPS terajui tanggungjawab untuk menjamin keselamatan sempadan

AKPS terajui tanggungjawab untuk menjamin keselamatan sempadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AGENSI Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) ialah sebuah agensi kerajaan baharu yang ditubuhkan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memperkukuhkan keselamatan dan pengurusan sempadan melalui penyatuan anggota serta fungsi yang sebelum ini terpecah di pelbagai agensi.

AKPS diterajui Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman. Mandat AKPS untuk membanteras dan mencegah penyeludupan, termasuk memperkemas operasi, peningkatan penguatkuasaan, melaksanakan operasi berasaskan risikan serta menyelaraskan mekanisme kawalan sempadan.

Penilaian terhadap prestasinya adalah wajar memandangkan AKPS kini memasuki tahun kedua operasinya.

Ketika ini, AKPS menguruskan 22 pintu masuk sah sempadan  di seluruh negara. Pada tahun pertamanya, agensi ini dilaporkan memusatkan penguatkuasaan sempadan, menambah baik penyelarasan serta menghalang aktiviti penyeludupan.

Antara insiden yang mencetuskan kebimbangan adalah penahanan 18 pegawai AKPS di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atas dakwaan kegiatan ‘counter setting’ iaitu membawa masuk warga asing tanpa dokumen sah melalui kerjasama dengan sindiket.

Menurut Ketua Polis Kelantan, jika sistem keselamatan berteknologi tinggi di KLIA yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) ketat boleh ditembusi, kawasan sempadan terbuka seperti Sungai Golok adalah lebih membimbangkan dan berisiko tinggi terhadap pencerobohan.

Sebelum penubuhan AKPS, operasi pencegah penyeludupan diselaraskan oleh Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), beroperasi di pintu masuk sempadan utama seperti Bukit Kayu Hitam, Padang Besar dan Sungai Golok.

Kejayaan yang terhad akibat masalah rasuah, pertindihan kuasa, perkongsian risikan, kesetiaan dan penyelarasan yang lemah di antara pelbagai agensi akhirnya membawa kepada penubuhan AKPS.

Berdasarkan pengalaman sebagai penduduk tempatan di Rantau Panjang serta pengalaman berkhidmat selama lima tahun di Perlis sebagai Pengarah Badan Pencegah Rasuah, saya sebelum ini menekankan kewujudan jurang yang ketara di antara objektif dasar kawasan sempadan dan realiti pelaksanaannya di lapangan. Keadaan ini sekali gus menegaskan keperluan terhadap penyesuaian dasar yang lebih praktikal dan berasaskan pengalaman sebenar.

 Namun begitu, AKPS masih berdepan cabaran utama untuk mencapai sepenuhnya mandat, termasuk kekurangan tenaga kerja, bajet kecil, amalan lama masih berakar, akauntabiliti lemah, anggota tidak dilengkapi dengan pengetahuan mencukupi serta penggunaan teknologi yang ketinggalan.

 Antara bidang utama yang memerlukan perhatian segera adalah  isu sumber manusia. Pada masa ini, pegawai AKPS masih diserap daripada agensi jabatan kerajaan seperti Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Kesihatan (KKM) dan lain lain.

Seawal 2010, saya pernah mencadangkan pengambilan pegawai baharu sepenuhnya, bila mana isu kebergantungan terhadap pegawai yang dipindahkan daripada jabatan sedia ada terus menjadi penghalang kepada pembaharuan yang lebih berkesan. 

Pegawai yang dipindahkan cenderung mengekalkan kesetiaan kepada Ketua Agensi asal, ada juga budaya kerja tidak beretika dan amalan lama yang tidak selaras dengan objektif pembaharuan, sekali gus lemah untuk mengeluarkan perintah, akauntabiliti serta keberkesanan dasar agensi. 

Sebaliknya, pengambilan pegawai baharu membolehkan penyesuaian lebih cepat terhadap sistem, teknologi dan rangka akauntabiliti sedia ada, sekali gus mengukuhkan integriti institusi dalam jangka panjang tanpa menanggung beban amalan lama yang bercanggah.  Ini juga sebagai langkah strategik yang lebih berkesan dan mampan dalam usaha membanteras penyeludupan secara menyeluruh.

Tindakan ini mampu memberi kesan segera dalam memperkukuh kerjasama berpasukan, meningkatkan profesionalisme serta latihan berasaskan lapangan, di samping memastikan kesetiaan penuh kepada AKPS.

Apa pun,pegawai baharu ini perlu melalui tapisan latar belakang yang ketat dan latihan penguatkuasaan moden, undang-undang asas, protokol sempadan serta analisis risikan.

Pastikan mereka diberikan kursus berkala dalam dan luar negara bagi meningkatkan ilmu bagi mengukuh agensi  keselamatan negara dan menangani ancaman yang sentiasa berubah.

Pelaksanaan ujian integriti secara rawak ke atas pegawai agensi ini boleh mengekalkan tahap integriti serta membina budaya kerja yang baik dan akauntabiliti dalam AKPS.

Kerajaan perlu mewujudkan dan memperkasakan  rangka undang-undang yang baik untuk menghapuskan pertindihan, memperkukuh pengawasan, mewujudkan persekitaran kerja kondusif serta membekalkan AKPS dengan teknologi canggih bagi menangani cabaran keselamatan sempadan. Pastikan pengurusan AKPS diberi bajet yang besar dan mengawal urusan kewangan yang lebih mandiri.

 Walaupun penggunaan model ini serta pembelian perolehan aset moden menelan kos tinggi, namun perbelanjaan tersebut dapat diimbangi melalui penjimatan hasil pengurangan aktiviti penyeludupan yang juga penyebab utama negara mengalami kerugian berbilion ringgit setiap tahun.

Akhir sekali, AKPS berperanan sebagai agensi penguatkuasa tunggal yang menyelaras serta memperkukuh semua operasi di pintu masuk sah negara. 

AKPS mampu membentuk pegawai yang cekap di lapangan dan bertindak berkesan sebagai benteng hadapan keselamatan, kedaulatan serta kesejahteraan rakyat. Ini semua boleh berlaku sekiranya pegawai yang direkrut secara profesional, berteraskan integriti serta mengutamakan kreativiti dan kepimpinan melalui teladan.-UTUSAN

 

DATUK Seri Dr. Akhbar Satar ialah Presiden Pertubuhan Integriti Dan Governans Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×