9 ANGGOTA FRU MAUT
13 Mei
Sembilan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) maut manakala Sembilan lagi cedera selepas trak FRU dinaiki dirempuh lori bermuatan batu kerikil yang hilang kawalan di Jalan Sungai Manik, Teluk Intan, Perak.
LIMA’25 TARIK 450,000 PENGUNJUNG
20 Mei
Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ‘25) edisi ke-17 menarik 450,000 pengunjung dan 860 pempamer.
SIDANG KEMUNCAK ASEAN KE-47
26 Mei
Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur dengan menampilkan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC (Majlis Kerjasama Teluk) dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang pertama kali diadakan selain memperkenalkan Deklarasi Kuala Lumpur serta Visi ASEAN 2045.
15 MAUT TRAGEDI BAS UPSI
9 JUN

Bas persiaran membawa 42 pelajar dan 2 kru dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terlibat dalam nahas tragik di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), KM 53, Banun berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak mengakibatkan 15 pelajar maut dan 33 lagi cedera. Bas itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu menuju ke kampus UPSI di Tanjong Malim, Perak selepas cuti Aidiladha itu dipercayai melanggar belakang sebuah Perodua Alza sebelum hilang kawalan dan terbalik.
KHALID ISMAIL KETUA POLIS NEGARA BAHARU
20 JUN
Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu menggantikan Tan Sri Razarudin Husain.
SYED SADDIQ BEBAS
25 JUN
Mahkamah Rayuan melepaskan dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada sabitan salah dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang dikenakan terhadapnya sebelum ini.
GEGARAN MISTERI DI IPOH
27 JUN
Penduduk di sekitar Ipoh, Perak dikejutkan dengan bunyi letupan kuat dan gegaran yang dirasai di beberapa kawasan yang mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan masyarakat.
PELUASAN CUKAI, SST, TARIF ELEKTRIK
1 JULAI
Kerajaan umum peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), tarif elektrik dan penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar kepada penumpang bas ekspres dan persiaran.
MILITAN REKRUT BURUH BANGLADESH
4 JULAI
Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB) dikesan merekrut ahli baharu di Malaysia dalam kalangan buruh dari negara itu.Aktiviti itu terbongkar susulan penahanan 36 anggota kumpulan berkenaan dalam operasi polis sekitar Selangor dan Johor.
MALAYSIA AIRLINES TEMPAH 20 PESAWAT
5 JULAI
Malaysia Aviation Group (MAG) mengukuhkan komitmen dengan menempah 20 lagi pesawat A330-900 daripada Airbus, menjadikan jumlah keseluruhan pesawat A330neo yang akan dikendalikan menjadi 40 buah.
ENAM SEKELUARGA MAUT DALAM SUNGAI KOROK
7 JULAI

Misteri kehilangan enam beranak terungkai apabila kesemua mangsa ditemukan maut di dalam sebuah kereta Proton Iswara yang terbabas ke dalam Sungai Korok, Jitra, dengan kedalaman kira-kira enam meter.
AS KENAKAN TARIF 25% IMPORT MALAYSIA
8 JULAI
Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif 25 peratus ke atas Malaysia mulai 1 Ogos. Kadar yang disifatkan oleh Presiden Donald Trump sebagai ‘jauh lebih rendah’ daripada apa yang diperlukan untuk menghapuskan defisit perdagangan negaranya dengan Malaysia.
SELAMAT HARI JADI KE-100 TUN DR. MAHATHIR
10 JULAI

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 sekali gus mencipta rekod sebagai bekas Perdana Menteri Tertua Masih Hidup.
HADI AWANG PERTAHAN JAWATAN PRESIDEN PAS
11 JULAI
Tan Sri Abdul Hadi Awang menamatkan spekulasi pengundurannya daripada jawatan Presiden Pas apabila menyatakan komitmen menjalankan tanggungjawab yang disandangnya sejak 2003.
BAPA ZAYN RAYYAN BEBAS
21 JULAI
Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepaskan dan membebaskan Zaim Ikhwan Zahari, bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin daripada pertuduhan pengabaian sehingga menyebabkan kecederaan. Bagaimanapun, isterinya, Ismanira Abdul Manaf perlu membela diri atas pertuduhan serupa.
HIMPUNAN TURUN ANWAR
26 JULAI
Polis menganggarkan seramai 18,000 menyertai Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka.
WAN AHMAD FARID KETUA HAKIM NEGARA
28 JULAI
Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengangkat sumpah sebagai Ketua Hakim Negara ke-17 menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib pada 2 Julai 2025. – UTUSAN









