Nilai mata wang merosot cetus protes terbesar di Iran

Nilai mata wang merosot cetus protes terbesar di Iran

PENUNJUK perasaan dalam kalangan peniaga berarak di atas jambatan semasa protes terhadap keadaan ekonomi dan mata wang Iran di Teheran, kelmarin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Protes terbesar Iran dalam tempoh tiga tahun tercetus pada Isnin, selepas mata wang negara itu merosot ke paras terendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), selain peletakan jawatan ketua Bank Pusat.

Televisyen negara melaporkan peletakan jawatan Mohammad Reza Farzin, manakala peniaga dan pemilik kedai berhimpun di Jalan Saadi di pusat bandar Teheran serta di kawasan kejiranan Shush berhampiran Bazar Besar.

Peniaga di pasar tersebut memainkan peranan penting dalam Revolusi Islam 1979 yang menumbangkan pemerintahan monarki dan membawa golongan Islamis ke tampuk kuasa.

Agensi berita rasmi IRNA mengesahkan berlakunya protes itu. Saksi melaporkan perhimpunan sama di beberapa di bandar utama lain termasuk Isfahan di tengah Iran, Shiraz di selatan dan Mashhad di timur laut.

Di beberapa kawasan di Teheran, polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan.

Protes pada Isnin merupakan yang terbesar sejak 2022, apabila kematian Mahsa Jina Amini, 22, dalam tahanan polis mencetuskan demonstrasi di seluruh negara.

Beliau ditangkap oleh polis moral negara itu kerana didakwa tidak memakai hijab dengan betul.

Saksi memberitahu AP, peniaga menutup kedai mereka kelmarin dan menggesa pemilik premis lain turut berbuat demikian.

Agensi berita ILNA melaporkan banyak perniagaan menghentikan operasi, walaupun sebahagiannya masih membuka kedai mereka.

Nilai rial Iran pada Ahad menjunam kepada 1.42 juta bagi setiap dolar AS. Pada Isnin, mata wang itu diniagakan pada paras 1.38 juta berbanding dolar.

Penyusutan nilai mata wang yang pesat memburukkan lagi tekanan inflasi, mendorong kenaikan harga makanan serta keperluan harian lain, sekali gus menekan perbelanjaan isi rumah.

Keadaan itu dijangka bertambah buruk susulan perubahan harga petrol yang diperkenalkan dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×