BEIJING: Bandar futuristik Xiong’an yang dibangunkan dengan kos mencecah AS$85 bilion (RM344 juta) dan disifatkan sebagai bandar contoh masa depan China kini berdepan kritikan apabila dilabel sebagai bandar mati yang membosankan.
Projek mega yang terletak 110 kilometer dari Beijing itu diperkenalkan sebagai penyelesaian kepada masalah kesesakan ibu negara serta simbol pembangunan pintar era Presiden Xi Jinping, lengkap dengan teknologi canggih termasuk rangkaian internet berkelajuan tinggi, pengecaman wajah dan kemudahan kenderaan pandu sendiri.
Namun, realitinya menyaksikan Xiong’an dipenuhi bangunan pencakar langit seragam, stesen kereta api moden dan lebuh raya lengang, tetapi kekurangan kehidupan sosial.
Kebanyakan penduduk yang menetap di situ berpindah kerana diarahkan majikan, termasuk syarikat milik kerajaan dan institusi awam.
Seorang penduduk, Max Wang, menyifatkan bandar itu sebagai membosankan sambil mengakui kehidupan sosial amat terhad, khususnya bagi golongan muda yang bekerja lebih masa dan kurang peluang berhibur atau berkenalan.
“Mencari pasangan juga sukar. Harapan hanya bergantung pada kenalan,” katanya.
Kerajaan China kini berusaha meningkatkan populasi dengan pelbagai langkah, termasuk melarang pembelian rumah tanpa mendiaminya, menawarkan subsidi sewa kepada perniagaan serta memindahkan universiti dan ibu pejabat agensi kerajaan ke bandar itu.
Seorang usahawan kecil, Zhang Cheng berkata, walaupun insentif kewangan menarik, kualiti hidup pekerja menjadi pertimbangan utama.
Xiong’an yang kini menempatkan kira-kira 1.2 juta penduduk disasarkan menampung sehingga lima juta orang menjelang 2035.










