Bersabar dengan ujian kesakitan sifat orang beriman

Bersabar dengan ujian kesakitan sifat orang beriman

ORANG beriman yakin Allah tidak menimpakan sesuatu secara sia-sia kerana setiap penyakit mengandungi hikmah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALLAH SWT mengurniakan pelbagai nikmat kepada manusia dan antara paling besar tetapi sering dilupakan ialah nikmat kesihatan.

Selagi tubuh sihat, ramai yang mengambil mudah dan menganggapnya sebagai perkara biasa. Namun apabila diuji dengan penyakit, barulah manusia menyedari betapa berharganya nikmat ini.

Bagi orang beriman, kesihatan bukan sekadar untuk menikmati kehidupan tetapi menjadi wasilah untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mempersiapkan bekalan menuju akhirat.

Islam mengajar agar umatnya menghargai kesihatan sebelum datangnya sakit. Menziarahi orang sakit juga dianjurkan supaya kita dapat merenungi ujian mereka dan menyedari betapa besar nikmat yang masih kita miliki.

Pepatah mengatakan, ‘kesihatan ialah raja segala nikmat’, kerana tiada nilai harta mampu mengembalikan tubuh yang hilang upaya.

Ramai yang diuji dengan sakit kaki ingin kembali berjalan untuk beribadah, ada yang kehilangan pendengaran atau pertuturan berharap dapat membaca atau mendengar al-Quran. Semua ini mengingatkan kita setiap anggota tubuh ialah amanah yang perlu disyukuri dan digunakan dalam ketaatan.

Dalam realiti hari ini, pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, barah serta jangkitan virus semakin meningkat. Selain penyakit fizikal, ada juga penyakit ghaib seperti gangguan makhluk halus, jin dan sihir.

Sebahagiannya meragut nyawa, sementara yang lain menanggung derita bertahun-tahun.

Dengan umur manusia yang tidak panjang, sebagaimana sabda Rasulullah SAW bahawa umur umat baginda sekitar 60 hingga 70 tahun, setiap detik kehidupan wajar diisi dengan ketaatan, bukan kemaksiatan.

Sesungguhnya lebih baik umur yang singkat tetapi penuh amal soleh daripada umur panjang yang dipenuhi dosa.

Rasulullah menjelaskan sebaik-baik manusia ialah yang panjang umur dan baik amalannya, manakala seburuk-buruk manusia ialah yang diberi umur panjang tetapi buruk amalannya.

Ini membuktikan umur dan kesihatan hanyalah peluang, bukan jaminan kebahagiaan. Yang membezakannya ialah bagaimana ia digunakan.

Dalam menghadapi ujian sakit, orang beriman yakin Allah tidak menimpakan sesuatu secara sia-sia. Setiap penyakit mengandungi hikmah.

Pertama, ia menjadi penghapus dosa. Dalam sebuah hadis, Rasulullah bersabda apa jua kesakitan, kepenatan, kegusaran atau keperitan yang menimpa seorang Muslim akan menggugurkan dosa-dosanya.

Kedua, ujian ini menambah kebaikan bagi mukmin. Jika mendapat nikmat, dia bersyukur dan apabila ditimpa musibah, dia bersabar, lalu kedua-duanya menjadi kebaikan baginya.

Ketiga, penyakit mendidik jiwa untuk sabar, reda dan tidak berkeluh kesah.

Keempat, ia mengembalikan manusia kepada Allah SWT, sebagaimana disebut dalam Surah Al-Zukhruf bahawa bala diturunkan agar manusia kembali bertaubat.

Akhirnya, setiap kesakitan adalah ujian kasih sayang Allah SWT kepada hamba-Nya. Ia boleh menjadi nikmat jika mendekatkan diri kepada Allah, atau menjadi musibah jika menjauhkan diri daripada-Nya.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Taghabun ayat 11: “Tidak ada musibah yang menimpa melainkan dengan izin Allah, dan sesiapa yang beriman, Allah akan memimpin hatinya.”

Maka berbahagialah mereka yang sabar kerana sabar itu adalah bukti keimanan dan jalan menuju keredaan Allah SWT. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MOHD. ASHROF ZAKI YAAKOB
Profesor Madya, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM, Shah Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×