JEDDAH: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam tindakan Israel yang mengiktiraf wilayah Somaliland sebagai sebuah negara merdeka, sambil menyifatkannya sebagai pelanggaran terhadap kedaulatan, perpaduan nasional dan keutuhan wilayah Somalia.
Sekretariat Agung OIC menegaskan solidariti penuh bersama Somalia serta sokongan berterusan terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah negara itu, termasuk institusi negara yang sah.
Menurut laporan Agensi Berita Saudi (SPA), OIC menekankan keperluan semua pihak mematuhi Piagam OIC, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa berkaitan kedaulatan negara.
Pertubuhan itu turut menolak sebarang tindakan unilateral yang boleh menjejaskan kestabilan serantau dan mencetuskan ketegangan baharu di benua Afrika.
OIC menegaskan kepentingan memelihara keselamatan, keamanan dan kestabilan di Afrika yang berdepan cabaran geopolitik berterusan.
Dalam hal ini, OIC menggesa masyarakat antarabangsa agar menghormati kedaulatan Somalia dan menolak sebarang langkah yang bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.










