PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkannya bersalah semalam dengan proses berkenaan dijangka dibuat Isnin ini.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihaknya telah menjangkakan keputusan tersebut dan bersedia membawa kes berkenaan ke peringkat Mahkamah Rayuan.
“Jadi, memang benar, walaupun kami amat kecewa, kami tidak terkejut dengan keputusan tersebut kerana kami sememangnya telah menjangkakannya sejak awal lagi.
“Saya menantikan kes ini dibawa ke Mahkamah Rayuan kerana setiap perkara yang diputuskan oleh hakim telah dilakukan dengan cara yang tidak mengambil kira pemeriksaan balas kami,” katanya dalam sidang akhbar selepas prosiding keputusan akhir pembelaan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion yang dihadapi Najib di Istana Kehakiman di sini.
Terdahulu, Najib dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11,387,888,067.05 atas kesemua 25 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sementara itu, Najib turut mengutuskan sepucuk surat yang dibacakan oleh Muhammad Shafee susulan keputusan yang menentukan nasibnya itu.
Dalam surat tersebut, Najib menegaskan beliau akan meneruskan perjuangan dalam membela nasib dirinya meskipun berdepan jalan yang sukar dan sunyi.
Katanya, perjuangan itu bukan atas dasar dendam atau kepentingan peribadi, sebaliknya berasaskan prinsip, keadilan dan hak yang diperuntukkan oleh undang-undang.
“Perjuangan ini bukan usaha untuk mengelak daripada tanggungjawab. Ia adalah ikhtiar menegakkan keadilan, menjunjung integriti Perlembagaan dan mempertahankan kedaulatan undang-undang yang dilaksanakan tanpa rasa takut atau pilih kasih.
“Saya akan terus menuntut hak saya melalui saluran yang sah dengan maruah dan kesabaran, walaupun jalannya sunyi dan menuntut pengorbanan yang besar,” katanya.
Najib turut menasihatkan rakyat Malaysia supaya bersikap tenang, rasional dan berhati-hati dalam menilai keputusan mahkamah tanpa terpengaruh dengan sebarang spekulasi atau provokasi yang berpotensi menjejaskan keharmonian negara. – UTUSAN










