Dalam mana-mana sistem demokrasi, politik tidak pernah wujud sebagai tujuan akhir. Ia hanyalah alat untuk mengurus perbezaan, membina keadilan dan menterjemahkan kehendak rakyat kepada dasar negara.
Tanpa tujuan moral, politik akan berubah menjadi perebutan kuasa kosong. Tanpa sokongan rakyat, ia akan menjadi struktur yang mati.
Ahli falsafah Yunani, Aristotle pernah menegaskan bahawa politik wujud demi ‘The good life’ iaitu kehidupan yang baik untuk masyarakat keseluruhannya. Kuasa, dalam kerangka ini, bukan hak mutlak tetapi amanah yang sentiasa perlu dipertanggungjawabkan.
Di sinilah peranan parti politik menjadi signifikan. Parti bukan sekadar mesin pilihan raya atau platform elit. Ia adalah alat kolektif untuk menghimpunkan aspirasi rakyat dan menyalurkannya ke pusat kuasa.
Namun, alat hanya berguna selagi ia berfungsi. Parti yang kehilangan sokongan penyokongnya, walau sekuat mana struktur atau sejarahnya, akan menjadi tidak relevan.
Ahli sosiologi politik Jerman, Robert Michels yang terkenal dengan teori Hukum Oligarki mengingatkan organisasi politik sering ‘tergoda’ untuk menjaga kelangsungan kepemimpinan berbanding kehendak ahli dan penyokong. Apabila jurang ini melebar, krisis kepercayaan akan muncul dan ketika itulah penyokong mula menjauhkan diri.
Hakikatnya, penyokong ialah nyawa kepada parti. Mereka mungkin tidak berada di bilik mesyuarat tetapi mereka menentukan keabsahan. Mereka tidak menggubal dasar tetapi memutuskan mandat. Apabila penyokong hilang keyakinan, parti mungkin masih wujud di atas kertas tetapi sudah kosong dari segi makna.
Contoh menarik dapat diperhatikan dalam tindakan pantas DAP selepas keputusan pilihan raya negeri (PRN) di Sabah. Kekalahan bukan sahaja dibaca sebagai kegagalan taktikal tetapi sebagai isyarat daripada akar umbi.
Beberapa pendirian dan kenyataan diperhalusi, naratif diperbetulkan dan isu-isu sensitif disentuh dengan lebih berhati-hati. Sama ada disukai atau tidak, satu perkara jelas, parti itu memahami kehilangan sokongan penyokong lebih berbahaya daripada kehilangan jawatan.
Perkara yang sama dapat dilihat apabila reaksi terhadap isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan sindiran terbuka terhadap kes Datuk Seri Najib Tun Razak tanpa mempedulikan perasaan ‘rakan’ mereka dalam Kerajaan Madani.
Langkah-langkah ini bukan soal prinsip mutlak atau perubahan ideologi tetapi refleksi kepada realiti politik atau dalam kata lain suara penyokong adalah paling utama.
Sarjana politik Amerika Syarikat (AS), John Rawls menekankan keadilan dan legitimasi hanya wujud apabila institusi awam selari dengan rasa keadilan masyarakat. Apabila jurang antara elit dan penyokong terlalu melebar, apa yang tinggal hanyalah kuasa tanpa kepercayaan.
Dalam konteks ini, persoalan sebenar bukanlah siapa berada dalam kerajaan tetapi siapa masih didengari. Parti yang terlalu lama mempertahankan kedudukan tanpa membetulkan hubungan dengan penyokong akan berhadapan risiko lebih besar dan ditinggalkan secara senyap.
Dalam politik, penyokong jarang membuat pengumuman perpisahan sebaliknya hanya tidak lagi hadir.
Sejarah menunjukkan parti yang bertahan bukanlah parti yang sentiasa berada dalam kerajaan tetapi parti yang tahu bila perlu berhenti, berfikir dan kembali mendengar.
Politik ialah seni membaca isyarat, bukan menafikan realiti. Dan dalam demokrasi, isyarat paling jujur datang daripada penyokong sendiri.
Akhirnya, sebuah parti harus sentiasa bertanya soalan yang sukar tetapi perlu: Adakah kami masih menjadi alat kepada rakyat atau rakyat sekadar alat kepada kelangsungan kami?
Jawapan kepada soalan itu akan menentukan bukan sahaja masa hadapan parti tetapi juga makna sebenar berpolitik.
Mungkin huraian ini juga menjawab pertanyaan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan tentang sifir politik logik angkanya dan nilai ‘satu sen’ dalam siasah Malaysia hari ini.
Dalam politik, kegagalan membaca isyarat awal sering membawa kepada kehilangan yang tidak dapat ditebus kemudian hari.-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal komunikasi yang pernah bertugas sebagai Wartawan Utusan Malaysia, Setiausaha Akhbar kepada Menteri dan Pegawai Khas (Media dan Komunikasi Strategik) kepada Perdana Menteri.










