‘Pelancongan bintang’ di PD Forest@Sungai Menyala

‘Pelancongan bintang’ di PD Forest@Sungai Menyala

MUZAMIR Mazlan (tengah) melakukan demonstrasi penggunaan jam matahari gergasi bagi menentukan arah kiblat dan waktu solat. – UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD.GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA menyebut tentang Port Dickson, sudah semestinya kita akan membayangkan suasana pantai-pantainya yang nyaman dan indah.

Namun, bagi yang mahu mencari pengalaman berbeza, daerah Port Dickson sebenarnya mempunyai satu destinasi unik yang menggabungkan khazanah hutan dengan ilmu astronomi.

Terletak di kawasan Hutan Simpan Sungai Menyala, PD Forest@Sungai Menyala kini muncul sebagai tarikan buat pencinta alam khususnya yang ingin merasai suasana ‘pelancongan bintang’ ataupun disebut sebagai astropelancongan.

Pada waktu siang, pengunjung berpeluang melihat sendiri sebuah jam matahari gergasi terbesar di Negeri Sembilan manakala malamnya pula terbentang keajaiban langit dengan ribuan bintang dan planet yang boleh dicerap dari kawasan hutan simpan itu.

Penolong Pegawai Kanan Balai Cerap Negeri Sembilan, Muzamir Mazlan berkata, kawasan hutan simpan tersebut dipilih kerana pencemaran cahayanya yang rendah.

Ia sekali gus membolehkan objek langit dapat dilihat lebih jelas berbanding kawasan bandar atau pantai yang sibuk.

Menurutnya, kawasan lapang di PD Forest memudahkan penggunaan teleskop, sementara kemudahan seperti dewan dan tapak perkhemahan memudahkan kepada para pengunjung.

”Idea untuk buat dataran astronomi di PD Forest ini adalah bagi mencari lokasi yang sesuai dan strategik. Kawasan untuk aktiviti cerapan perlu kurang cahaya, sebab apabila ada pencemaran cahaya, kita susah hendak nampak bintang atau planet.

”Jadi, PD Forest dipilih kerana kurang pencemaran cahaya serta lokasinya yang berjauhan dari bandar dan keadaan hutannya yang gelap.

“Selain itu, di sini juga terdapat pelbagai kemudahan seperti tapak perkhemahan, tandas awam dan hostel yang memudahkan pengunjung yang ingin membuat aktiviti cerapan di sini,” katanya baru-baru ini.

BINTANG-BINTANG yang kelihatan di Dataran Astronomi PD Forest @ Sungai Menyala, Port Dickson

JAM MATAHARI GERGASI

Jam matahari gergasi yang terdapat di kawasan lapang PD Forest ini bukan sahaja berfungsi sebagai penunjuk waktu tradisional malah menjadi tarikan bergambar yang baharu bagi pelancong.

Menggunakan konsep bayangan cahaya matahari, jam tersebut membolehkan pengunjung memerhati bagaimana waktu dapat diukur dengan kaedah lama yang digunakan sejak ribuan tahun lalu.

Menurut Muzamir, jam gergasi tersebut juga boleh digunakan sebagai penanda arah kiblat dan waktu solat.

“Jam matahari ini dibuat oleh Ustaz Abdullah yang berasal dari Kelantan. Beliau mempunyai kepakaran ilmu falak. Jam ini diperbuat daripada batu marmar dan ia merupakan satu-satunya jam matahari yang terbesar di Malaysia dan telah dimasukkan dalam Malaysia Book of Records (MBR),” katanya.

Lebih menarik, struktur jam matahari ini turut dihiasi dengan tulisan jawi dan Arab, menambah nilai estetika serta menonjolkan elemen warisan Islam dalam ilmu falak.

Keunikan itu bukan sahaja menghidupkan kembali seni tulisan tersebut malah memberi ruang kepada pengunjung bagi memahami kaitannya dengan penggunaan jam matahari pada zaman silam.

Kehadiran tulisan Jawi dan Arab itu juga menghubungkan fungsi falak tradisional dengan penghayatan ibadah umat Islam sekali gus menjadikan jam ini bukan sahaja alat saintifik, tetapi juga berperanan sebagai panduan spiritual.

DATARAN ASTRONOMI

Dari sinilah, pengalaman di PD Forest membawa pengunjung menyingkap perjalanan ilmu falak bermula dari siang dengan cahaya matahari sehinggalah malam tiba apabila bintang dan planet mula menghiasi langit.

Sebaik malam melabuhkan tirai, kawasan hutan simpan ini bertukar wajah. Dari jam matahari, langkah pengunjung bergerak pula ke dataran astronomi PD Forest yang merupakan dataran astronomi pertama di Malaysia.

“Program cerapan biasanya bermula seawal pukul 9 malam, bergantung kepada keadaan cuaca. Jika bernasib baik, bintang, buruj dan beberapa planet boleh dilihat jelas dari sini,” katanya.

CERAPAN PLANET

Antara tarikan utama dalam cerapan di PD Forest ialah planet-planet yang boleh dilihat dengan jelas bergantung pada musim dan kedudukan orbitnya.

Muzamir berkata, Musytari atau Jupiter misalnya, merupakan planet yang paling terang di langit malam serta ia sering kelihatan seperti bintang putih kekuningan.

”Menariknya, dengan hanya menggunakan teleskop kecil, pengunjung sudah boleh melihat bulan-bulan Musytari yang mengelilinginya,” katanya.

Tambahnya, planet Marikh pula mudah dikenal pasti kerana warnanya yang kemerahan serta lebih jelas kelihatan ketika berada pada kedudukan oposisi, iaitu dimana Marikh, Bumi dan matahari berada dalam satu garis lurus.

“Tidak ketinggalan, planet Zuhal atau Saturn turut menjadi kegemaran ramai kerana keistimewaan cincinnya. Walaupun daripada mata kasar, ia hanya kelihatan seperti bintang kekuningan namun melalui teleskop, kita dapat menyaksikan bentuk cincin planet itu yang sentiasa menjadi sorotan dalam sesi pencerapan,” katanya.

Dalam pada itu, Muzamir berkata, selain planet, buruj dan bintang terkenal yang sering dilihat di PD Forest ialah Sirius yang berada dalam buruj Anjing Besar.

Katanya, Sirius adalah bintang yang paling terang di langit malam serta ia mudah dikenali walaupun bagi mereka yang pertama kali melakukan aktiviti cerapan.

“Buruj Orion juga sangat popular kerana mudah dicam melalui tiga bintang yang tersusun sebaris. Dalam buruj itu ada dua bintang utama iaitu Rigel dan Betelgeuse yang selalu menarik perhatian kerana warnanya yang berbeza,” katanya.

Terdapat juga tiga bintang iaitu Altair, Deneb dan Vega yang membentuk Summer Triangle, selain Crux atau buruj Pari yang menjadi ikon hemisfera selatan dan boleh dilihat jelas dari Malaysia.

“Kadang-kadang kita juga kenal pasti bintang terang lain seperti Aldebaran, Antares dan Spica. Semua ini menjadikan aktiviti cerapan lebih menarik kerana pengunjung dapat mengenali nama-nama bintang yang biasanya hanya dilihat dalam buku,” katanya.
Bagaimanapun, Muzamir berkata, pengalaman ini bukan sahaja mendekatkan diri dengan keindahan kosmos malah mengajar erti kesabaran kerana aktiviti cerapan bergantung sepenuhnya pada cuaca.

BIMA SAKTI DI PD FOREST

Selain buruj dan bintang, galaksi Bima Sakti juga sering kelihatan di Dataran Astronomi PD Forest.

“Pengunjung yang hadir boleh cuba mengambil gambar bintang dan buruj.

Di Malaysia, hanya di sini sahaja kita boleh nampak Bima Sakti dengan mata kasar apabila langit betul-betul gelap,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×