Lantik menteri besar baharu Perlis dari kalangan Bersatu - Mohd. Puad

Lantik menteri besar baharu Perlis dari kalangan Bersatu – Mohd. Puad

MOHD. PUAD ZARKASHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Besar Perlis yang baharu wajar dilantik daripada kalangan wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan kemelut politik yang berlaku.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, mustahil bagi Bersatu untuk memecat lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli, sekali gus menjadikan parti itu sebagai pihak paling layak untuk mengetuai pentadbiran negeri.

Katanya, ia merupakan peluang terbaik bagi Bersatu untuk mentadbir Perlis secara langsung.

“Pas perlu bersikap gentleman dengan menyerahkan hak lantikan Menteri Besar kepada Bersatu. Lepaskan sahaja kepada Bersatu. Jangan biarkan pentadbiran negeri tergantung. Utamakan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Mohd. Puad berkata, walaupun kedua-dua parti adalah rakan dalam Perikatan Nasional (PN), kemelut politik di Perlis berkemungkinan menyaksikan drama dalaman yang berterusan.

“Namun, perkembangan itu dijangka tidak menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) di negeri itu. UMNO kini sudah serik,” katanya.

Sebelum ini, Mohd. Shukri mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar yang berkuat kuasa semalam.

Surat peletakan jawatan tersebut dipersembahkan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail tengah hari semalam.

Mohd. Shukri yang juga ADUN Sanglang dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat secara secara sukarela dan atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan.

Ia susulan lapan daripada 14 ADUN Perikatan Nasional (PN) termasuk tiga dari Pas menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis menyatakan penolakan sokongan terhadap Mohd. Shukri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×