Tempat makan dekat hakisan cerun dinasihat tutup

Tempat makan dekat hakisan cerun dinasihat tutup

GAMBAR menunjukkan hakisan cerun yang berlaku berhampiran kawasan persinggahan popular pelancong di Jalan Simpang Pulai–Cameron Highlands. - GAMBAR MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kawasan kedai makan yang menjadi persinggahan popular pelancong di Jalan Simpang Pulai–Cameron Highlands yang tular berikutan keadaan hakisan cerun di lokasi tersebut, akan ditutup sementara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, Jabatan Perhutanan Negeri Perak akan memberi notis penutupan kepada pemegang permit mulai esok 26 Disember 2025 selama tempoh satu bulan sehingga siasatan lengkap dibuat.

Menurutnya, semakan awal mendapati lokasi berkenaan berada di luar seliaan atau rizab Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Kawasan tersebut merupakan tanah tambak dan berisiko tinggi untuk berlakunya kejadian tanah runtuh berdasarkan keadaan semasa cerun berkenaan.

“Kawasan tanah runtuh itu terletak di Kompartmen 31, Hutan Simpan Bukit Kinta dan berada berhampiran kawasan kedai makan yang menjadi tumpuan pengunjung.

“Sehubungan itu, JKR menasihatkan supaya lokasi tersebut ditutup daripada sebarang aktiviti bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohammad Nizar, kawasan kedai makan berkenaan telah diberikan kelulusan Permit Penggunaan bagi tujuan sewaan tapak kedai makan dan minum melibatkan keluasan 0.4 hektar.

Katanya, permit tersebut berkuat kuasa mulai 16 Mei 2025 hingga 31 Disember 2025 dan kelulusan itu dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak.

Jelasnya, sebagai langkah keselamatan awal, Jabatan Perhutanan Negeri Perak akan mengeluarkan notis penutupan kepada pemegang permit mulai 26 Disember 2025.

“Penutupan itu akan dilaksanakan selama tempoh satu bulan bagi membolehkan siasatan lengkap dijalankan,” katanya.

Terdahulu tular kawasan persinggahan popular pelancong di laluan Jalan Simpang Pulai–Cameron Highlands itu selepas gambar pemandangan dari udara mendedahkan keadaan hakisan tanah di lokasi berkenaan yang menimbulkan kebimbangan ramai.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini