KUALA TERENGGANU: Badan Perhubungan UMNO Terengganu menyerahkan kepada pucuk kepemimpinan tertinggi parti itu untuk membuat keputusan ekoran perkembangan terkini berkaitan Titah Adendum melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengerusinya, Datuk Rozi Mamat berkata, UMNO Terengganu mengecam sekeras-kerasnya kenyataan dimuat naik Ahli Parlimen Puchong dari DAP, Yeo Bee Yin yang secara terbuka ‘meraikan’ keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada Najib.
Katanya, kenyataan Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan itu bukan sahaja disifatkan sebagai tidak sensitif malah memperlihat kegagalan memahami realiti politik serta emosi masyarakat, khususnya apabila melibatkan seorang bekas pemimpin negara yang banyak berjasa.
“Perbuatan tersebut jelas bertentangan dengan semangat saling menghormati yang sepatutnya menjadi teras hubungan antara parti-parti komponen dalam kerajaan. UMNO Terengganu berharap agar semua Ahli UMNO seluruh negeri bersabar serta berhemah mengulas isu ini dan memberi kepercayaan kepada pucuk kepemimpinan tertinggi membuat keputusan yang terbaik demi masa depan parti,” katanya hari ini.
Bee Yin dilaporkan memuat naik satu hantaran dipercayai merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib berhubung Titah Adendum yang bertujuan membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Dalam hantaran tersebut, Bee Yin dilaporkan menulis: “Satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini.”
Hantaran itu dimuat naik beberapa jam selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching, memutuskan bahawa Titah Adendum berkenaan tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari 2024.
Menurut Rozi, isu berkaitan Titah Adendum melibatkan Najib bukan setakat soal politik kepartian sempit atau mempertahan individu tertentu.
Katanya, ia telah berkembang menjadi persoalan keadilan, kedaulatan undang-undang serta penghormatan terhadap institusi Raja-Raja Melayu.
“Apabila satu titah yang mempunyai asas perlembagaan dan disahkan kewujudannya gagal diberi tindakan sewajarnya, rakyat mula mempersoal keutuhan sistem pentadbiran negara hari ini. UMNO Terengganu sentiasa konsisten menyokong apa sahaja tindakan pucuk pimpinan dalam usaha memastikan Datuk Seri Najib Tun Razak diberikan keadilan sepenuhnya.
“Pada masa yang sama, UMNO Terengganu menghormati keputusan mahkamah dalam isu tersebut selari kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan,” katanya. – UTUSAN










