COPENHAGEN: Perkhidmatan pos Denmark bakal menghantar surat terakhirnya pada 30 Disember ini, sekali gus menamatkan tradisi lebih 400 tahun penghantaran surat di negara itu.
PostNord dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat berikutan penurunan mendadak permintaan terhadap perkhidmatan surat, selain pertumbuhan pesat sektor e-dagang yang mendorong syarikat berkenaan memberi tumpuan kepada penghantaran bungkusan.
Menurut PostNord, Denmark merupakan antara negara paling maju dari segi pendigitalan di dunia, dengan jumlah surat yang dihantar merosot lebih 90 peratus dalam tempoh 25 tahun lalu sehingga menjadikan perkhidmatan itu tidak lagi menguntungkan.
Susulan keputusan tersebut, seramai 1,500 pekerja di Denmark terjejas manakala sebanyak 1,500 peti surat merah ikonik akan dilupuskan dengan sebahagiannya habis dijual kepada orang ramai dalam tempoh singkat apabila ditawarkan awal bulan ini.
Walaupun PostNord menghentikan penghantaran surat, orang ramai masih boleh menggunakan perkhidmatan syarikat lain.
Syarikat Dao akan menggalas tanggungjawab penghantaran surat di negara ini selepas memperluaskan operasinya bermula 1 Januari depan selaras dengan keperluan undang-undang Denmark yang mewajibkan perkhidmatan surat kekal tersedia.
Pihak berkuasa Denmark menegaskan perubahan itu tidak memberi kesan besar dari segi praktikal kerana masyarakat masih boleh menghantar dan menerima surat, meskipun melalui penyedia perkhidmatan berbeza.
Namun, pemerhati sejarah komunikasi menyifatkan penamatan perkhidmatan PostNord sebagai simbol berakhirnya satu era, meskipun penulisan surat secara fizikal dilaporkan kembali mendapat tempat dalam kalangan golongan muda sebagai alternatif kepada komunikasi digital.










