KEBELAKANGAN ini banyak sekali diperkata tentang identiti nasional yang bukan sahaja tidak boleh sesekali dikesampingkan oleh mana-mana pihak. Juga wajib dihayati sepenuhnya oleh semua rakyat dalam sebarang perkara yang dilakukan mereka di negara ini.
Sesungguhnya identiti nasional bersifat amat rencam. Dengan ini, ia ditakrifkan dari pelbagai sudu. Begitu juga dengan ciri yang membentuknya ikut beraneka. Walaupun begitu, ia rata-ratanya dikaitkan dengan sifat dan ciri sesebuah negara.
Dengan ini, identiti nasional merupakan apa-apa jua perkara yang boleh dikaitkan dengan sesebuah negara itu. Antaranya adalah sejarah, budaya, bahasa dan nilai yang menjadikan sesebuah negara itu bersifat khusus, yakni unik dengan cirinya sendiri, untuk membezakannya secara ketara dengan negara lain.
Untuk Malaysia, identiti nasionalnya dari sejarah ialah ia bumi Melayu-Islam. Sungguhpun begitu, ia sama sesekali tidak bersifat eksklusif, yakni terhad kepada etnik Melayu dan umat Islam semata-mata. Sebaliknya, ia inklusif dengan bukan sahaja memberi tempat yang wajar dalam strukturnya kepada etnik lain. Juga secara signifikan.
Perbezaan etnik diiktiraf untuk dikendalikan dalam satu kerangka yang dibenarkan oleh etnik Melayu selaku tuan rumah. Meskipun begitu, ia selalu bertimbang rasa kepada etnik bukan Melayu.
Ini dapat dilihat dalam bidang politik, antaranya pada urus tadbir negara. Ia memastikan barisan kepimpinan pada semua peringkat kerajaan, tidak sesekali menyisih etnik bukan Melayu.
Hal yang sama dapat juga dilihat dalam bidang ekonomi yang dengan penuh prihatin, menentukan peluang saksama diberikan kepada etnik bukan Melayu.
Inilah identiti Malaysia yang menetapkan penyertaan saksama kepada semua etnik dalam segenap sistem negara. Ia termasuklah pendidikan selain politik dan ekonomi. Untuk ini, ia mementingkan persetujuan pada Perjanjian Etnik 1955 yang secara longgarnya lebih dikenali sebagai Kontrak Sosial.
Dengan etnik Melayu sebagai kelompok dengan penuh kuasa politik, sudah tentu sistem nilai dan norma budaya mereka dijadikan unsur penting dalam struktur negara.
Dengan ini, tindakan dan perilaku rasmi negara terdiri daripada sistem mereka. Hal ini dapat dilihat pada bahasa Melayu yang menjadi bahasa negara. Begitu juga dengan budaya Melayu yang dijadikan teras utama kepada cara kehidupan nasional di negara ini.
Selain merupakan entiti wibawa etnik Melayu, kedua-dua bahasa dan budaya Melayu sesungguhnya adalah wadah penyatuan yang paling afdal.
Ini kerana, sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu adalah milikan utuh semua rakyat. Begitu juga dengan budaya Melayu sebagai teras utama pada Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN), ia cara bersama unggul untuk rakyat mendukung peradaban nasional yang sepunya sifatnya.
Untuk bahasa Melayu, ia dijadikan bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara dalam peranannya sebagai bahasa rasmi. Dengan ini, institusi bahasa Melayu bukan sahaja membina negara agar terus maju dengan pesatnya. Ia juga membentuk rakyat untuk memiliki jati diri kebangsaan yang kental.
Manakala bagi budaya Melayu, ia memberi arah untuk cara berfikir dan bertindak di bumi Melayu-Islam ini. Dengan ini, bukan sahaja budaya Melayu mempengaruhi, juga mencorak keperibadian nasional.
Ini penting agar tingkah laku rakyat bukan sahaja selari, juga ikut memampankan negara ini sebagai bumi Melayu-Islam.
Semua ini, yakni bahasa atau budaya Melayu, merupakan sifat dan ciri yang bukan sahaja penting, juga istimewa yang ada pada identiti nasional kita. Ia memang berteraskan wibawa etnik Melayu selaku penduduk asal di negara di mana mereka adalah tuan miliknya.
Walaupun begitu, kebebasan yang diberikan kepada etnik bukan Melayu, antaranya untuk terus hidup dan amalkan cara asal bagi etnik Cina, adalah ciri demokratik paling terserlah di bumi Melayu-Islam ini.
Lebih penting lagi utama daripada itu, ia adalah sifat bermasyarakat dan bernegara yang terunggul daripada etnik Melayu kepada etnik bukan Melayu.
Sisi sivil ini daripada etnik Melayu sesungguhnya menunjukkan mereka bukan sahaja sangat matang, juga maju sekali dari segi pemikiran sosial dan budaya.
Natijahnya, dalam hubungan etnik di bumi Melayu-Islam ini ialah timbang rasa dalam bentuk akomodasi yang diberikan oleh etnik Melayu kepada etnik bukan Melayu.
Ia bukan sahaja harus dihargai pada setiap masa. Juga hendaklah diinsafi untuk disyukuri kerana tidak ada tuan rumah sebaik etnik Melayu yang sanggup menerima, membantu dan melindungi etnik bukan Melayu di bumi asing.
Oleh itu, etnik bukan Melayu, antaranya Cina hendaklah berpada-pada dalam membuat apa-apa tuntutan, yang tidak boleh sesekali agresif sifatnya.
Apatah lagi yang memberi kata dua kepada etnik Melayu, lebih-lebih lagi pada perkara yang sudah lama dipersetuju oleh etnik bukan Melayu sendiri, untuk diubah, diganti dan yang seumpamanya.
Sehubungan ini, identiti nasional bagi negara, khususnya bahasa Melayu sebagai bahasa negara, dan identiti budaya bagi rakyat, khasnya cara kehidupan nasional yang berteraskan amalan Melayu dan ajaran Islam, hendaklah bukan sahaja dihormati pada setiap masa.
Juga selalu dipatuhi atas dasar di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.
Untuk bahasa Melayu, ia wajib diketahui dengan baik agar penguasaannya selalu berada pada tahap tinggi. Hal ini menjadi sangat penting apabila diambil kira bahawa bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa negara hampir 70 tahun yang lampau.
Dengan tempoh sebegitu panjang, tidak boleh pada masa ini ada lagi rakyat yang tidak mengetahui, justeru tidak menguasainya.
Begitu juga halnya dengan budaya Melayu. Ia yang sudah menjadi bahagian terpenting dalam kehidupan nasional di negara ini, wajib diketahui dengan baik. Ia penting untuk memahami aspirasi Melayu yang dijadikan aspirasi nasional bagi Malaysia.
Seperkara penting tentang hal aspirasi ini ialah ia yang terdiri daripada lambang dan proses sosiobudaya Melayu, tidak boleh sesekali digantikan dengan sewenang-wenangnya.
Ini kerana ia telah dipersetuju bersama oleh semua etnik pada Kontrak Sosial itu, antaranya untuk pelestarian negara ini sebagai bumi Melayu-Islam.
Dengan ini, bahasa lain tidak boleh sesekali bertindak seolah-olah ia juga bahasa negara, khususnya sebagai bahasa rasmi. Antaranya sebagai bahasa pengantar utama untuk menggantikan bahasa Melayu.
Ini sudah tentu akan menjejaskan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Dengan ini, identiti nasional kita bukan sahaja tidak dipamerkan, juga tidak didaulatkan melalui bahasa negara.
Begitu juga dengan amalan budaya lain yang diangkat semacamlah ia teras utama dalam DAKEN. Perbuatan begini bukan sahaja tidak tepat, juga tidak melambangkan, bahkan langsung tidak memperlihat negara ini sebagai bumi Melayu-Islam.
Dengan ini, ia tidak pun memperlihat amalan yang sepatutnya di bumi Melayu-Islam.
Oleh itu, kita hendaklah tegas dalam hal identiti Malaysia. Ini penting agar status negara ini sebagai bumi Melayu-Islam bukan sahaja selalu terpelihara dengan utuh.
Juga dilindungi dengan baik pada setiap masa untuk diperturun kepada generasi mendatang dalam bentuk yang tidak meleset dan tidak tercemar.
Oleh itu, tidak boleh ada kompromi langsung dalam apa-apa jua perkara yang boleh menggugat identiti Malaysia sebagai bumi Melayu-Islam. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










