SEOUL: Seorang lelaki berusia 20-an ditahan kerana cuba membunuh kenalannya, kerana mempercayai mangsa mendera anjingnya.
Menurut Balai Polis Gwangsan, serangan berlaku sekitar pukul 5 petang pada Jumaat lalu, di kawasan perumahan di Gwangsan-gu, Gwangju.
Suspek dan mangsa, kedua-duanya warganegara China, pernah bertemu semasa bekerja sebagai pekerja pembinaan dan didakwa rapat sehingga kerapa mengunjungi rumah masing-masing.
Suspek mendapati anjingnya berdarah di rumahnya dan percaya mangsa yang berusia 50-an bertanggungjawab.
Dia membawa sebilah pisau semasa mengunjungi mangsa dan berlaku pertengkaran sebelum membawa kepada kejadian tikaman.
Suspek sempat melarikan diri, namun berjaya ditahan di rumahnya oleh polis dua jam selepas kejadian.
Mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan perubatan.
Setakat ini, tiada bukti mangsa mendera anjingnya dan polis sedang menyiasat kes tersebut.- AGENSI









