HOUSTON: Seorang individu yang menggunakan kerusi roda mencipta sejarah apabila berjaya terbang ke angkasa buat pertama kali pada Sabtu, menerusi penerbangan singkat bersama syarikat Blue Origin.
Syarikat penerokaan angkasa milik bilionair Amerika Syarikat (AS), Jeff Bezos melancarkan misi suborbit New Shepard membawa enam individu termasuk seorang jurutera Jerman yang berkerusi roda pada pukul 8.15 pagi (waktu tempatan) dari tapak di Texas.
Michaela Benthaus, seorang jurutera aeroangkasa dan mekatronik dari Jerman yang berkhidmat dengan Agensi Angkasa Eropah (ESA), merupakan antara penumpang yang melepasi Garisan Karman, iaitu sempadan angkasa yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, dalam penerbangan kira-kira 10 minit itu.
Benthaus mengalami kecederaan saraf tunjang akibat kemalangan berbasikal gunung dan kini bergantung kepada kerusi roda.
Menurut pegawai Blue Origin, tiada sebarang pengubahsuaian dilakukan pada kenderaan New Shepard, namun syarikat berkenaan membuat beberapa perubahan pada peralatan di darat.
Antaranya termasuk penyediaan bangku yang digunakan Benthaus untuk bergerak melalui pintu kapsul serta masuk dan keluar dari tempat duduknya, selain pemasangan sebuah lif di pelantar pelancaran.
Benthaus menyatakan beliau merasakan satu tanggungjawab sebagai individu pertama berkerusi roda yang berjaya terbang ke angkasa.
“Selepas kemalangan itu, saya benar-benar menyedari betapa sukarnya untuk mengakses dunia bagi golongan kurang upaya.
“Jika kita mahu menjadi masyarakat yang inklusif, kita perlu inklusif dalam setiap aspek, bukan hanya dalam perkara yang kita suka,” katanya dalam sebuah video yang dikeluarkan oleh syarikat berkenaan.
Roket kecil yang beroperasi sepenuhnya secara automatik itu dilancarkan secara menegak sebelum kapsul yang membawa pelancong angkasa berpisah ketika dalam penerbangan dan kemudiannya mendarat dengan perlahan di padang pasir Texas, dibantu oleh payung terjun.
Penerbangan itu merupakan misi berawak ke-16 Blue Origin, yang sejak beberapa tahun lalu menawarkan penerbangan pelancongan angkasa lepas menggunakan roket New Shepard, walaupun harga tiket tidak didedahkan kepada umum.
Puluhan individu sebelum ini berjaya mengembara ke angkasa bersama Blue Origin, termasuk penyanyi pop, Katy Perry dan pelakon, William Shatner yang terkenal dengan watak Kapten Kirk dalam siri Star Trek.
Penglibatan tokoh berprofil tinggi itu dilihat bertujuan mengekalkan minat awam terhadap penerbangan pelancongan angkasa, ketika syarikat-syarikat angkasa swasta bersaing untuk meraih keunggulan.
Virgin Galactic turut menawarkan pengalaman penerbangan suborbit yang serupa.
Bagaimanapun, Blue Origin juga mempunyai cita-cita lebih besar untuk bersaing dengan SpaceX milik hartawan, Elon Musk dalam pasaran penerbangan orbit.
Tahun ini, syarikat milik Bezos itu berjaya melaksanakan dua penerbangan orbit tanpa kru menggunakan roket New Glenn, yang jauh lebih berkuasa berbanding New Shepard.-AFP/AGENSI










