BRUSSELS: Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) bersetuju menyediakan pinjaman tanpa faedah kepada Ukraine bagi memenuhi keperluan ketenteraan dan ekonomi negara itu dalam peperangan dengan Russia bagi tempoh dua tahun akan datang, kata Presiden Majlis EU, Antonio Costa.
Menurut diplomat, para pemimpin mencapai keputusan awal pagi Jumaat untuk meminjam dana daripada pasaran modal bagi membiayai pertahanan Ukraine, berbanding menggunakan aset Russia yang dibekukan.
“Kami telah mencapai persetujuan. Keputusan untuk menyediakan sokongan sebanyak 90 bilion euro (RM429.9 bilion) kepada Ukraine bagi tempoh 2026–2027 telah diluluskan. Kami berjanji, dan kami tunaikan,” kata Costa dalam hantaran di media sosial.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menzahirkan penghargaan kepada EU atas pinjaman itu bagi membantu menampung kekurangan bajet negara yang semakin hampir, sambil menyifatkannya sebagai langkah yang benar-benar mengukuhkan pertahanan Kyiv.
“Ini adalah sokongan penting yang benar-benar menguatkan daya tahan kami,” kata Zelensky menerusi platform X.
“Adalah penting aset Russia terus dibekukan dan Ukraine menerima jaminan keselamatan kewangan bagi tahun-tahun mendatang,” tambahnya.
Costa bagaimanapun tidak memperincikan sumber pembiayaan tersebut yang dicapai selepas pemimpin EU bermesyuarat hingga lewat malam Khamis untuk mencapai persetujuan.
Namun, draf teks kesimpulan sidang kemuncak yang dilihat oleh agensi berita Reuters menyatakan pembiayaan itu akan diperoleh daripada pasaran modal dan dijamin melalui bajet EU, bukannya meneruskan rancangan kontroversi menggunakan aset Russia yang dibekukan bagi menyokong usaha perang Ukraine.
Pada masa sama, kerajaan EU dan Parlimen Eropah akan meneruskan perbincangan mengenai penubuhan satu lagi pinjaman kepada Ukraine yang berasaskan aset bank pusat Russia.
Perjanjian yang dimeterai pada Jumaat itu tidak akan menjejaskan obligasi kewangan Hungary, Slovakia dan Republik Czech yang tidak mahu menyumbang kepada pembiayaan Ukraine, menurut teks berkenaan.










