JAKARTA: Fosil prasejarah dikenali sebagai Java Man iaitu bukti pertama Homo erectus yang pernah ditemukan kini kembali ke tanah air selepas lebih 130 tahun berada di Belanda sejak era penjajahan.
Fosil bersejarah itu mula dipamerkan kepada umum di Muzium Nasional Indonesia pada Khamis, sekali gus menandakan detik penting dalam usaha pemulangan khazanah warisan negara.
Penemuan tersebut merangkumi serpihan tengkorak, sebatang gigi geraham dan tulang paha yang ditemui di sepanjang Sungai Bengawan Solo, Pulau Jawa, pada akhir abad ke-19 oleh ahli anatomi dan geologi Belanda, Eugene Dubois.
Fosil berkenaan menjadi antara bukti terawal yang menghubungkan evolusi manusia dengan primat.
Tiga fosil utama itu bersama sebuah cangkerang yang dipercayai dicakar oleh Homo erectus awal merupakan kumpulan pertama daripada lebih 28,000 fosil dan objek sejarah alam yang akan dipulangkan ke Indonesia.
Kesemua koleksi tersebut sebelum ini dibawa keluar dari Jawa dan Sumatera oleh Dubois.
Menteri Kebudayaan Indonesia, Fadli Zon berkata, pemulangan artifak dan fosil bersejarah adalah keutamaan nasional negara itu dan kerajaan bertanggungjawab melindungi warisan budaya, memulihkan naratif sejarah serta memastikan akses awam terhadap khazanah budaya dan saintifik milik Indonesia.
Fosil Java Man dibawa pulang dengan kawalan keselamatan ketat menggunakan beg khas yang dilengkapi pengesanan GPS, kawalan suhu dan meterai diplomatik.
Ia merupakan sebahagian daripada koleksi Dubois yang sebelum ini diuruskan oleh Pusat Biodiversiti Naturalis di Leiden, Belanda, sebuah institusi saintifik berusia lebih 200 tahun.
Kedutaan Belanda di Jakarta memaklumkan baki koleksi Dubois akan dipindahkan sepenuhnya ke Indonesia pada 2026, dengan Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional Indonesia akan mengetuai usaha pemeliharaan serta pengurusan koleksi berkenaan.
Langkah itu susulan keputusan Jawatankuasa Koleksi Kolonial Belanda yang mengesahkan koleksi tersebut tidak pernah dimiliki secara sah oleh negara berkenaan.










