PETALING JAYA: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengunjungi Sekretariat Kontinjen Malaysia sempena Sukan SEA Ke-33 Thailand 2025 di The Grand Fourwings Convention Hotel, Bang Kapi, Bangkok, semalam.
Turut sama berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda, Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang juga Ketua Kontinjen Malaysia, Nurul Huda Abdullah dan Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd. Nasir Ali.
Dalam kenyataan di laman Facebook MOM, Tuanku Syed Faizuddin Putra berharap pentas Sukan SEA dijadikan batu loncatan buat setiap atlet untuk melangkah lebih jauh sama ada ke Sukan Komanwel, Sukan Asia malah ke temasya Olimpik.
MOM berkata, keprihatinan baginda terhadap perjuangan atlet negara dilihat sebagai manifestasi sokongan berterusan institusi diraja dalam pembangunan sukan tanah air serta usaha mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.
“MOM menjunjung setinggi-tinggi kasih atas keberangkatan Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis yang telah memberikan dorongan serta sokongan moral kepada seluruh anggota kontinjen Malaysia yang beraksi pada temasya dwitahunan itu,” katanya.
Baginda berdua bersama anakanda kemudiannya berkenan berangkat menyaksikan atlet negara bertanding dalam acara ping pong di Central Westgate, Nonthaburi.
Baginda turut menyaksikan kejayaan Malaysia meraih pingat emas dalam acara lumba basikal di Velodrom Hua Mark serta pertandingan akhir bola keranjang wanita di Stadium Nimibutr. – UTUSAN










