Syria antara tujuh negara baharu disekat masuk AS - Utusan Malaysia

Syria antara tujuh negara baharu disekat masuk AS

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump meluaskan larangan perjalanan dengan menambah tujuh negara baharu termasuk Syria, ke dalam senarai negara yang dikenakan sekatan penuh untuk memasuki AS.

Langkah yang diumumkan pada Selasa itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperketatkan piawaian kemasukan ke AS bagi tujuan perjalanan dan imigresen.

Keputusan tersebut dibuat susulan penahanan seorang warga Afghanistan yang disyaki terlibat dalam insiden tembakan terhadap dua anggota Pasukan Pengawal Kebangsaan semasa hujung minggu Thanksgiving.

Pada Jun lalu, Trump mengumumkan larangan terhadap rakyat dari 12 negara daripada memasuki AS, manakala warganegara tujuh negara lain dikenakan sekatan perjalanan.

Keputusan itu menghidupkan semula dasar utama yang menjadi ciri pentadbiran Trump pada penggal pertamanya.

Larangan asal melibatkan Afghanistan, Myanmar, Chad, Republik Congo, Equatorial Guinea, Eritrea, Haiti, Iran, Libya, Somalia, Sudan dan Yemen. Sekatan lebih ketat turut dikenakan ke atas pengunjung dari Burundi, Cuba, Laos, Sierra Leone, Togo, Turkmenistan dan Venezuela.

Dalam pengumuman terbaharu, pentadbiran Republikan itu menambah Burkina Faso, Mali, Niger, Sudan Selatan dan Syria ke dalam senarai negara yang dikenakan larangan penuh. Selain itu, perjalanan menggunakan dokumen perjalanan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Palestin turut disekat sepenuhnya.

Sebanyak 15 lagi negara turut dimasukkan ke dalam senarai negara yang dikenakan sekatan separa, iaitu Angola, Antigua dan Barbuda, Benin, Côte d’Ivoire, Dominica, Gabon, Gambia, Malawi, Mauritania, Nigeria, Senegal, Tanzania, Tonga, Zambia dan Zimbabwe.

Menurut kenyataan rasmi pentadbiran Trump, banyak negara yang dikenakan sekatan didapati mempunyai masalah rasuah yang meluas, dokumen sivil yang tidak boleh dipercayai atau palsu serta rekod jenayah yang menyukarkan proses tapisan keselamatan terhadap rakyat mereka.

Selain itu, sebahagian negara mencatatkan kadar tinggi pelanggaran tempoh visa, enggan menerima semula warganegara yang ingin dihantar pulang oleh AS atau berdepan ketidakstabilan serta kelemahan kawalan kerajaan.

“Sekatan dan had yang dikenakan melalui Proklamasi ini adalah perlu bagi menghalang kemasukan warga asing yang mana AS tidak mempunyai maklumat mencukupi untuk menilai risiko yang mereka bawa, mendapatkan kerjasama kerajaan asing, menguatkuasakan undang-undang imigresen serta memajukan objektif dasar luar, keselamatan negara dan usaha memerangi keganasan,” menurut kenyataan Rumah Putih.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×