PERBUATAN gay dan homoseksual yang dilaporkan baru-baru ini melibatkan ramai penjawat awam kumpulan pengurusan dan profesional dianggap sangat menjijikkan serta turut mencemarkan imej institusi awam.
Sebelum ini, media melaporkan seramai 201 individu termasuk 17 penjawat awam yang disyaki terbabit dalam kegiatan tidak bermoral atau songsang ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Chow Kit.
Pembebasan mereka tentunya tidak terlepas daripada menimbulkan persepsi awam bahkan akan mengundang implikasi buruk terhadap masalah sosial.
Walau bagaimanapun, Jabatan Perkhidmatan Awam boleh mempertimbangkan untuk mengenakan tindakan tatatertib atau memecat mereka kerana mencemarkan nama baik serta menjatuhkan maruah institusi perkhidmatan awam.
Umumnya, seseorang penjawat awam yang berkhidmat di sesebuah kementerian atau agensi kerajaan hendaklah sentiasa berkelakuan baik serta memulihara imej serta adab sosiobudaya selari dengan pematuhan garis panduan atau akta perkhidmatan awam yang sedang berkuatkuasa.
Dari perspektif agama, perlakuan gay atau homoseksual iaitu melakukan hubungan di luar norma tabii, merupakan dosa besar yang dikutuk.
Perbuatan ini disamakan dengan perbuatan kaum Nabi Luth dan sebagaimana disebut dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Allah melaknat perbuatan yang menyerupai kaum Luth.
Kejadian serupa yang dilaporkan di Seberang Perai, Pulau Pinang, jelas memalukan negara serta memberi kesan negatif kepada umat Islam.
Isu ini perlu ditangani dengan tegas oleh pihak berkuasa, terutamanya agensi berkaitan undang-undang dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengekang gejala sosial yang dianggap kronik.
Oleh itu, ketegasan dalam penguatkuasaan undang-undang amat diperlukan bagi membendung perlakuan songsang dan kegiatan tidak bermoral daripada terus berleluasa. Langkah ini penting bagi memastikan norma sosial dan nilai moral terus dipelihara demi kesejahteraan masyarakat. – UTUSAN
CUCU TOK JANGGUT
Pulau Pinang










