BANGKOK: Pemanah negara, Quick Chern Xin mencipta kejutan melangkah ke pentas final Sukan SEA Thailand 2025 dalam acara recurve individu lelaki biarpun tidak berada dalam sasaran pingat.
Bagaimanapun, tugas berat menanti Chern Xin yang apabila bakal berdepan jaguh berpengalaman dari Indonesia, Riau Ega Agata Salsabila dalam aksi penentuan di Padang Kompleks Sukan Rajamangala, hari ini.
Atlet pelapis negara yang kali pertama beraksi di Sukan SEA itu mengakui dia bersemangat untuk mencipta kejutan sekali lagi biarpun berdepan bekas pemenang enam pingat emas temasya rantau Asia Tenggara itu.
“Perasaan sangat gembira apabila dapat melangkah ke final. Saya akan cuba sedaya upaya untuk hadiahkan pingat emas buat Malaysia.
“Memang ada sedikit rasa gementar, tetapi keterujaan itu lebih tinggi. Saya harap dapat memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin.
“Lawan saya nanti adalah pemanah senior, tetapi saya tidak mahu rasa terlalu tertekan. Bagi saya, di padang semuanya sama, sesiapa sahaja boleh menang jika fokus dan tidak melakukan kesilapan,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.
Terdahulu, Chern Xin mempamerkan ketenangan luar biasa apabila menyingkirkan rakan sepasukan, Muhamad Syafiq Bustaman dengan keputusan 7-3 pada aksi separuh akhir, semalam.
Dia sebelum itu cemerlang membenam cabaran wakil Myanmar, Htet Thiha Zaw 7-1 di pusingan 1/8 dan mengetepikan pemanah Vietnam, Phong 6-4 di suku akhir sebelum menewaskan pemanah Laos, Le Quoc Phong 6-4 untuk ke separuh akhir.
Mengulas mengenai aksi menentang Syafiq, Chern Xin menyifatkan pertembungan tersebut ibarat final.
“Bila lawan rakan sepasukan, memang sedikit gementar sebab kami berlatih bersama setiap hari dan tahu tahap masing-masing.
“Di dalam gelanggang, kami lawan habis-habisan, tetapi selepas tamat perlawanan, kami kawan balik macam biasa. Sekarang fokus saya adalah untuk memastikan emas menjadi milik kita,” katanya. – UTUSAN










