Skuad bola sepak buru gangsa ubati duka

Skuad bola sepak buru gangsa ubati duka

Pemain skuad kebangsaan sugul selepas tewas kepada Thailand 10 dalam aksi separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok, kelmarin. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Skuad bola sepak kebangsaan berharap mampu membawa pulang pingat gangsa di Sukan SEA Thailand 2025 bagi mengubat kekecewaan selepas gagal mara ke pentas akhir.

Pasukan yang diwakili Bawah 23 Tahun (B-23) kendalian Nafuzi Zain itu akan berdepan Filipina dalam penentuan pingat gangsa esok, manakala Thailand akan berdepan Vietnam untuk merebut ibu segala pingat di temasya dwitahunan itu.

Kapten negara, Ubaidullah Shamsul Fazili berharap rakan sepasukan dapat memberikan aksi terbaik sekiranya diberikan kepercayaan oleh jurulatih untuk berada dalam kesebelasan utama berdepan Filipina.

“Bagi saya, gangsa itu pilihan terakhir kita. Memang kena berikan sehabis baik, tak ada pilihan lain. Walaupun dengan keadaan skuad yang ada beberapa kecederaan, siapa yang ada kena berikan yang terbaik atas padang.

“Filipina bukan pasukan biasa-biasa, mereka ada pemain-pemain yang berkualiti termasuk pemain warisan yang mereka bawa kali ini. Saya dapat rasa mereka adalah lawan yang kuat,” kata Ubaidullah selepas berdepan Thailand.

Mengulas kekalahan 0-1 kepada Thailand dalam aksi separuh akhir, kelmarin, Ubaidullah berkata, pasukan telah beraksi dengan baik biarpun beraksi dengan 10 pemain hampir 80 minit.

“ Saya rasa pada masa depan masih lagi ada peluang untuk baiki kelemahan-kelemahan ni. Saya berpuas hatilah walaupun keputusan tidak menyebelahi kita, tetapi kita akan cuba yang terbaik untuk pingat gangsa,” katanya.

Dalam masa yang sama, Ubaidullah mengakui skuad negara kali ini berdepan kesukaran sejak awal latihan selepas ada pemain yang tidak mendapat pelepasan daripada kelab.

“Kita fikir itu mungkin ujian untuk ada benda yang lebih baik. Saya sendiri pun tak tahu akan balik ke tak untuk lawan Imigresen (Terengganu FC menentang Imigresen) pada 19 Disember ini.

“Saya harap saya dapat kekal di sini dan nikmati saat akhir Sukan SEA bersama kawan-kawan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×