PETALING JAYA: Kes tembak yang meragut nyawa tiga lelaki di Durian Tunggal, Melaka, kini disiasat semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan telah menerima laporan serta taklimat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bersetuju agar siasatan kes berkenaan diklasifikasikan semula.
“Penelitian awal mendapati beberapa tindakan lanjut masih perlu diambil oleh PDRM bagi melengkapkan siasatan sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat,” jelas kenyataan itu.
Pada 3 Disember lalu, media melaporkan bahawa ahli keluarga tiga lelaki yang ditembak itu menolak dakwaan bahawa ketiga-tiganya bertindak ganas dengan menyerang pihak polis.
Susulan itu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat dakwaan ahli keluarga tiga suspek penjenayah itu yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis.
Kejadian tembak menembak berlaku sekitar jam 4.30 pagi apabila tiga lelaki berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati.
Ia selepas seorang daripada mereka melibas parang terhadap seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal, Melaka.
Akibat serangan tersebut, anggota polis berpangkat koperal berusia awal 30-an cedera parah pada lengan kiri.
Ketiga-tiga suspek disyaki terbabit dalam 20 kes jenayah di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM1.35 juta. – UTUSAN










