Universiti sebagai medan ilmu, bukan gelanggang kuasa

Universiti sebagai medan ilmu, bukan gelanggang kuasa

PROSES pemilihan yang ketat, latihan bertaraf dunia, pengiktirafan antarabangsa dan peluang sama rata menjadikan pensyarah berada pada kedudukan yang disanjungi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU buli sering dikaitkan dengan pelajar dalam wacana pendidikan tinggi. Namun, sesekali timbul juga dakwaan pensyarah muda dibuli oleh pensyarah senior, ketua jabatan, dekan atau naib canselor.

Hakikatnya, budaya akademik di universiti Malaysia tidak memberi ruang kepada amalan sebegitu.

Pensyarah bukanlah dilantik secara sewenang-wenangnya tetapi melalui proses yang ketat berasaskan merit dan kecemerlangan akademik. Justeru, kedudukan mereka dalam sistem universiti sudah pun berada pada tahap yang tinggi dan dihormati.

Kebanyakan pensyarah bermula sebagai tutor yang dipilih oleh jabatan berdasarkan rekod akademik cemerlang semasa ijazah pertama. Pemilihan ini bukan sahaja menilai pencapaian akademik tetapi juga kefahaman calon terhadap sistem universiti dan potensi mereka sebagai pelapis kepada program akademik sedia ada atau yang akan dibangunkan.

Selepas itu, tutor dihantar menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD), termasuk menjalani sangkutan di agensi penyelidikan atau makmal terkemuka dunia.

Budaya akademik menekankan kepentingan mencari profesor atau makmal berprestij sebagai tempat melanjutkan pengajian, sama ada di peringkat sarjana, PhD atau pasca doktoral.

Universiti di Malaysia sering merujuk kepada piawaian institusi terkemuka dunia seperti Harvard, Massachusetts Institute of Technology (MIT), Oxford dan Cambridge sebagai penanda aras. Sekarang banyak universiti terkemuka di dunia mengikut bidang-bidang tertentu.

Dengan latihan sebegitu, pensyarah universiti Malaysia sebenarnya berada di tahap atas dalam bidang masing-masing. Malah, pengiktirafan antarabangsa seperti senarai dua peratus saintis terkemuka dunia yang paling berpengaruh menunjukkan pencapaian mereka sebagai bukti jelas kecemerlangan pensyarah.

Data ini merujuk senarai tahunan dikeluarkan oleh Universiti Stanford dengan kerjasama Elsevier berdasarkan data sitasi daripada pangkalan data scopus.

Kedudukan ini diukur melalui pencapaian dalam penyelidikan, penerbitan, geran serta jaringan kepakaran.

Kecemerlangan pensyarah bukanlah sesuatu yang boleh dipersoalkan. Ia diiktiraf secara global dan menjadi asas kepada reputasi universiti. Pensyarah Malaysia bukan sahaja menyumbang ilmu pengetahuan tetapi juga membina jaringan antarabangsa yang memperkukuh kedudukan negara dalam peta akademik dunia.

Ketua jabatan, dekan dan pensyarah senior juga turut berlumba-lumba meningkatkan kecemerlangan masing-masing, bukan untuk menekan pensyarah muda. Mereka berperanan merancang masa hadapan jabatan, fakulti dan universiti, sambil memastikan setiap pensyarah mempunyai peluang sama untuk membangunkan kepakaran.

Platform seperti seminar, simposium, konferens dan penerbitan menjadi ruang terbuka untuk semua pensyarah menonjolkan kepakaran masing-masing. Dalam budaya akademik, tiada ruang untuk buli kerana setiap individu dinilai berdasarkan pencapaian yang boleh diukur dengan jelas.

Memang ada laporan tentang perebutan geran penyelidikan, pelajar siswazah atau pascasiswazah. Namun, kes-kes sebegini lebih mencerminkan kelemahan kepimpinan atau sikap individu, bukan budaya universiti secara keseluruhan. Sekiranya berlaku, ia menunjukkan kualiti kepimpinan masih rendah dan perlu diperbaiki.

Pensyarah yang benar-benar memahami budaya akademik akan sedar kecemerlangan tidak datang melalui perebutan tetapi melalui usaha berterusan, kolaborasi dan etika kerja yang tinggi.

TAMBAH BAIK
Dalam membincangkan isu buli, ada yang mencadangkan agar pensyarah membaca buku motivasi seperti Who Moved My Cheese. Buku oleh Spenser Jonson diterbitkan pada 1998 ini ialah sebuah perumpamaan ringkas yang mendedahkan kebenaran mendalam tentang cara menangani perubahan dalam kehidupan dan pekerjaan secara berkesan.

Intipati utama buku ini adalah untuk menggalakkan pembaca mengantisipasi, menyesuaikan diri, menerima perubahan dan bukan menentangnya. Begitu juga sebagai pedoman.

Pensyarah dalam bidang alam sekitar, pencemaran alam, kepelbagaian biologi dan kesihatan umum, memang wajar membaca buku Silent Spring oleh Rachel Carson (1962) dan Our Stolen Future oleh Theo Colborn, Dianne Dumanoski, dan John Peterson Myers (1996).

Kedua-dua karya ini menjadi rujukan penting tentang kesan pencemaran terhadap kepelbagaian biologi, ekosistem dan sistem endokrin manusia. Pensyarah bidang-bidang berkenaan boleh berlumba mencari penyelesaian terbaik terhadap isu yang dibangkitkan dan mendapat perhatian dunia.

Hakikatnya, tiada buli dalam kampus kecuali seseorang itu membenarkan dirinya diperlakukan demikian dan tidak mahu berkongsi ilmu dengan rakan kesepakaran.

Pensyarah dipilih bukan seperti jawatan biasa tetapi berdasarkan kehebatan dan kecemerlangan dalam bidang masing-masing. Mereka dilantik untuk membantu mengembangkan program akademik dan menyumbang kepada pembangunan universiti.

Budaya akademik di Malaysia menolak amalan buli terhadap pensyarah. Proses pemilihan yang ketat, latihan bertaraf dunia, pengiktirafan antarabangsa dan peluang sama rata menjadikan pensyarah berada pada kedudukan yang disanjungi.

Pemimpin universiti mesti terus memimpin pensyarah muda dengan penuh etika, terutama dalam era pasca normal ini. Pensyarah senior pula perlu membimbing, bukan menekan. Dengan itu, universiti akan terus menjadi medan kecemerlangan ilmu, bukan gelanggang perebutan kuasa.-UTUSAN

DR. Ahmad Ismail ialah Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×