UEC agenda politik atau pencetus reformasi pendidikan?

UEC agenda politik atau pencetus reformasi pendidikan?

SEBELUM ini lagi sudah banyak bantahan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ekoran bercanggah dengan Perlembagaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) muncul semula mencetuskan perdebatan dan polemik dari pelbagai pihak dan lapisan masyarakat.

Setiap kali muncul, naratif sama berulang membangkitkan keresahan antara kaum. Dengan kecanggihan dan kerancakan penggunaan media sosial perbalahan lebih hangat dari sebelum ini.

Hal ini juga menimbulkan persoalan tentang hala tuju negara-bangsa ini dan seterusnya menyemarakkan persoalan pokok yang perlu dijawab bukan sekadar patutkah UEC diiktiraf tetapi adakah langkah ini benar-benar agenda reformasi pendidikan atau sekadar alat politik yang dihidupkan semula apabila keadaan memerlukan?

Memuatkan artikel berkaitan…

Pertama sekali, perlu dibezakan antara membenarkan UEC dilaksanakan dan mengiktirafnya sebagai sijil rasmi negara.

Malaysia telah lama membenarkan pelaksanaan UEC di sekolah menengah persendirian Cina. Sebagai sistem peperiksaan swasta, UEC boleh terus berjalan dan ibu bapa dan pelajar bebas memilihnya. Itu bukan isu besar ketika ini.

Yang menjadi persoalan sebenar ialah tuntutan supaya UEC diiktiraf setaraf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tujuan rasmi negara seperti kemasukan ke universiti awam, skim perkhidmatan awam dan sebagainya.

Di sinilah dimensi Perlembagaan muncul. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 pula menegaskan semua urusan rasmi hendaklah menggunakan bahasa Melayu, kecuali pengecualian tertentu yang jelas digariskan.

UEC ialah peperiksaan yang tidak berasaskan kurikulum kebangsaan, tidak menjadikan bahasa Melayu dan Sejarah serta tidak berada di bawah seliaan Lembaga Peperiksaan negara.

Maka, mengiktiraf UEC sebagai sijil rasmi bermakna memberi status kebangsaan kepada sistem peperiksaan yang tidak memikul tanggungjawab membangunkan negara. Ini bukan sekadar keputusan pentadbiran tetapi persoalan kesetiaan kepada Perlembagaan.

POLITIK

Sistem pendidikan Malaysia sebenarnya amat terbuka. Tidak seperti banyak negara lain, kita membenarkan kewujudan sekolah vernakular, memasukkannya ke dalam sistem pendidikan kebangsaan serta menyalurkan peruntukan tahunan kerajaan.

Murid-muridnya menduduki peperiksaan kebangsaan yang sama. Dari sudut perbandingan antarabangsa, ini menunjukkan tahap toleransi institusi yang sangat tinggi jauh melangkaui amalan Indonesia, Thailand atau Vietnam yang mengekalkan satu aliran kebangsaan sahaja sebagai instrumen pembinaan bangsa.

Namun di sinilah paradoksnya, keterbukaan luar biasa ini juga membuka ruang politik dalam pendidikan, sebagaimana disebut Michael W. Apple dalam Education and Power (1982); Stephen J. Ball, dalam Education Policy and Social Class (2006) dan Antonio Gramsci, dalam Selections from the Prison Notebooks (1971).

Hal ini berlaku apabila pendidikan dijadikan instrumen perebutan kuasa, bukan medan membina ilmu dan perpaduan.

Sejarah desakan supaya UEC diiktiraf kerajaan merupakan contoh jelas. Sejak UEC diwujudkan pada 1975, isu pengiktirafan menjadi modal utama rundingan dan tekanan politik. Malah bentuk desakan serupa dikatakan bermula lebih awal di penghujung 1950an.

Isu dan desakan ini memuncak mengikut musim, menjadi polemik, reda seketika, kemudian muncul kembali dalam kitaran yang sama.

Lebih menarik, dalam konteks politik semasa, tidak kurang yang melihat kemunculan UEC kali ini sebagai usaha memulihkan relevansi sesetengah parti selepas prestasi hambar dalam pilihan raya terbaharu.

Inilah akibat apabila politik goyah, maka isu identiti sering dijadikan pelampung. Pendidikan tidak sepatutnya menjadi alat kosmetik politik sebaliknya harusnya kekal sebagai mekanisme penyatuan nasional, bukan alat memulihkan imej mana-mana aktor atau parti.

Malangnya, sehingga kini isu pendidikan berulang kali dijadikan titik bengik politik walaupun laungan “pendidikan mesti bebas politik” tidak pernah putus kedengaran.

Membenarkan kewujudan dan pembiayaan sekolah vernakular sudah satu hal, mengubah struktur kelayakan kebangsaan untuk mengiktiraf UEC sebagai sijil rasmi ialah hal yang sama sekali berbeza. Di sinilah garis yang perlu dilukis dengan jelas bahawa ini adalah isu pendidikan bagi membentuk minda dan karakter bangsa Malaysia yang sudah termaktub syaratnya.

TIADA HUJAH BAHARU

Jika UEC benar-benar sebuah agenda pendidikan, sepatutnya wujud hujah baharu yang kukuh untuk menyokong pengiktirafannya. Namun, hujah yang dikemukakan hari ini sebenarnya tidak banyak berbeza daripada yang sudah berlegar sejak 1970-an iaitu ia dikatakan sudah diiktiraf banyak universiti luar negara, mempunyai standard akademik yang baik dan membantu mobiliti tenaga kerja multilingual.

Walau bagaimanapun, tiga hujah ini langsung tidak menyentuh, apatah lagi mengatasi masalah asas yang lebih besar. UEC masih tidak disepadukan dengan kurikulum kebangsaan, tidak mewajibkan penguasaan sejarah negara atau bahasa Melayu sebagai teras, tidak berada di bawah seliaan langsung kerajaan sebagai peperiksaan awam, berpotensi melemahkan fungsi pendidikan sebagai alat penyatuan nasional dan pada tahap tertentu bercanggah dengan semangat Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan.

UEC tidak dibina di atas asas inilah yang menjadikan tuntutan pengiktirafannya terus bermasalah.

REFORMASI

Hakikatnya, cabaran sebenar pendidikan negara bukan sekadar polemik UEC. Yang jauh lebih mendesak ialah keperluan reformasi menyeluruh terhadap penghayatan dan penterjemahan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan sistem pendidikan sendiri. Selagi perbahasan hanya berlegar pada soal pengiktirafan, kecekapan pengurusan, kita sebenarnya tidak menyentuh akar sebenar masalah.

Pendidikan memerlukan perubahan yang lebih struktural, bukan tokok tambah kosmetik dan terpisah seperti fungsi pentadbiran guru atau cara keputusan pendidikan digubal serta dilaksanakan.

Dalam kerangka keperluan kepada reformasi sebenar inilah perbahasan tentang UEC sepatutnya ditempatkan untuk memperkukuh sistem pendidikan kebangsaan secara menyeluruh, bukan sebagai alat untuk kompromi politik jangka pendek.

UEC boleh terus wujud sebagai sistem peperiksaan swasta. Namun, mengiktirafnya sebagai sijil rasmi negara membawa implikasi yang jauh lebih besar kerana mencabar kerangka Perlembagaan, melemahkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, mengganggu fungsi pendidikan sebagai teras pembinaan negara-bangsa serta berpotensi membuka limpahan tuntutan identiti lain yang sukar dikawal.

Dasar negara tidak boleh digerakkan oleh tekanan politik bermusim tetapi mesti berpaksikan prinsip pembinaan negara-bangsa yang jelas dan konsisten.-UTUSAN

 

PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah pensyarah di Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini