SERDANG: Country Heights Holdings Berhad (CHHB) menegaskan penyelesaian isu undang-undang, timbang tara dan pemulihan aset tertunggak adalah kunci untuk melindungi aset kumpulan serta mencapai matlamat pemegang saham jangka panjang.
Pengerusi Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif CHHB, Tan Sri Mohd. Anwar berkata, penyelesaian undang-undang kekal sebagai titik perubahan bagi kumpulan itu.
“Para pemegang saham telah melabur dalam syarikat ini dengan objektif yang jelas dan aspirasi jangka panjang.
“Proses undang-undang ini bukanlah mengenai penampilan atau emosi, namun ia adalah mengenai hasil. Apabila perkara-perkara ini diselesaikan, objektif para pemegang saham dapat dicapai,” katanya dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-41 (AGM) syarikat itu di sini, hari ini.
Beliau berkata, isu berkaitan Mines Waterfront Business Park (MWBP) sebelum ini timbul daripada prosiding likuidasi yang sedang berjalan.
Menurutnya, semua Bukti Hutang (POD) yang diterima oleh likuidator telah dibayar sepenuhnya mengikut dokumen sah.
“Kami turut mengekalkan hak untuk mencabar pembayaran yang dianggap tidak sah atau tidak tepat.
“Dalam mesyuarat pemiutang pada 9 Januari 2024, jumlah POD dikemukakan kira-kira RM3.8 juta dan kumpulan membayar deposit 10 peratus sebanyak RM387,580 kepada Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI) pada 5 Februari 2024.
“Sejak itu, semua tuntutan POD diselesaikan secara bertanggungjawab.
“Prosiding yang melibatkan Amy Siew Pitt Wen pula adalah sebahagian proses mahkamah. Tuntutan berkaitan telah diselesaikan mengikut kerangka undang-undang yang berkuat kuasa, namun akan terus terlibat melalui mahkamah jika perlu untuk melindungi kepentingan pemegang saham,” katanya.
Mengulas mengenai prosiding timbang tara berkaitan aset CHHB di Borneo Highlands, beliau berkata, kumpulan kini menunggu keputusan dan yakin bahawa hasil yang adil akan menyumbang kepada nilai aset dan kepentingan pemegang saham jangka panjang.
Jelasnya, ia termasuk isu melibatkan Land Custody and Development Authority (LCDA) telah dijalankan pada Oktober 2025 .
“Sementara itu, isu berkaitan MBSB Bank Berhad mengenai MINES International Exhibition & Convention Centre (MIECC) pula kini dalam prosiding mahkamah, termasuk pendengaran pada 16 Disember 2025.
“Ia berkaitan kemudahan pembiayaan di mana MIECC dijadikan cagaran.
“Kami tidak membantah cadangan harga rizab RM210 juta untuk tujuan pendengaran mahkamah, sambil mengekalkan semua hak di bawah kontrak, statut dan undang-undang.
“Perbincangan bersama MBSB sedang dijalankan untuk mencapai penyelesaian komersial yang teratur, dengan pendedahan tertunggak kurang RM100 juta, bagi mengekalkan nilai MIECC dan kepentingan pemegang saham,” ujarnya.
Dalam pada itu, kumpulan turut mempertingkatkan pemulihan terhadap penyewa dan penghutang yang gagal membayar, termasuk isu melibatkan entiti 23C / Century, dengan tunggakan sewa sekitar RM15 juta.
Tindakan undang-undang dan penguatkuasaan dijalankan bagi memastikan aliran pendapatan, prestasi aset, dan disiplin kewangan terpelihara.
Seiring penyelesaian isu lama, CHHB terus memajukan strategi jangka panjang, termasuk penerokaan platform Web 3.0, pengukuhan GHHS Healthcare dalam segmen kesihatan berfokus pencegahan, serta penjenamaan semula Palace of the Golden Horses melalui pengalaman keahlian terpilih.
Inisiatif itu bertujuan meningkatkan penglibatan, membina komuniti mampan, dan membuka aliran nilai baru dalam kesihatan, hospitaliti, dan gaya hidup, selaras dengan tadbir urus, integriti aset, dan fokus kepada nilai pemegang saham jangka panjang. – UTUSAN










