KRISIS plastik di Malaysia bukan lagi isu alam sekitar, tetapi kelemahan dasar serta kegagalan industri dan masyarakat. Kita telah menukar negara ini menjadi mesin penggunaan yang hanya tahu mengambil, menggunakan dan membuang tanpa berfikir panjang.
Setiap hari, kita menghasilkan 39,000 tan metrik sisa pepejal. Angka ini tidak datang secara tiba-tiba, sebaliknya hasil dari dasar yang lemah sejak puluhan tahun dan sikap tidak peduli yang kini menjadi warisan negara.
Walaupun Malaysia kononnya serius menangani isu sisa, namun realitinya lebih 130 tapak pelupusan terus menerima sampah tanpa henti, dipaksa menampung beban yang mustahil untuk jangka masa panjang. Kita sedang melonggok masalah ke dalam tanah dan berharap ia hilang.
Sementara itu, syarikat-syarikat pengeluar terus menikmati keuntungan besar melalui penjualan produk dalam plastik sekali guna tetapi tidak memikul tanggungjawab terhadap apa yang berlaku selepas itu.
Inilah sebab Dasar Peluasan Tanggungjawab Pengeluar (EPR) sepatutnya sudah lama dilaksanakan secara wajib, bukan sekadar dibincangkan di seminar atau diletakkan dalam laporan.
Potensi industri kitar semula Malaysia sebenarnya besar iaitu RM20 bilion setahun jika EPR dilaksanakan dengan tegas.
Tetapi realitinya, kita masih bergerak terlalu perlahan. Kadang-kadang kelihatan seperti sengaja melengah-lengahkan sesuatu yang jelas memberi manfaat besar kepada negara.
Persoalannya siapa yang takut kepada EPR? Adakah pengeluar yang tidak mahu memikul kos tambahan atau sistem pengurusan sisa yang tidak mahu beradaptasi? Atau kerajaan yang tidak mahu menanggung risiko tidak popular?
Hakikatnya, EPR akan mengubah seluruh ekosistem pengurusan sisa negara dan perubahan ini tidak disukai pihak yang selesa dengan status quo.
Sementara itu, kadar kitar semula 37.9 peratus pada 2024 sering dijadikan bukti kemajuan. Namun angka itu tidak menunjukkan realiti majoriti bahan yang boleh dikitar semula tetap dibuang ke tapak pelupusan kerana rakyat tidak mengasingkan sisa.
Masalah terbesar bukan kurangnya kilang kitar semula tetapi kurangnya bahan yang sampai ke kilang tersebut dalam keadaan sesuai.
Kita mempunyai teknologi, pemain industri dan peluang ekonomi. Yang kita tiada ialah sistem yang mewajibkan setiap pihak memikul tanggungjawab.
Malaysia sudah lama terperangkap dalam budaya mencari jalan pintas termasuk dalam pengurusan sisa. Asalkan sampah hilang depan mata, itu dianggap penyelesaian.
Namun, sampah yang hilang itu tidak benar-benar hilang. Ia mencemari tanah, melepaskan gas metana, mengalir ke sungai dan akhirnya memasuki lautan.
Delegasi US-ASEAN Business Council (US-ABC) yang melawat Hiroyuki Industries (M) Sdn. Bhd. di Johor Bahru, Johor; pusat pengumpulan botol minuman plastik Mahija Parahita Nusantara dan kilang pemprosesan kitar semula Amandina Bumi Nusantara di Bekasi, Indonesia baru-baru ini menyaksikan sendiri bagaimana plastik terpakai boleh ditukar menjadi bahan bernilai tinggi.
Tetapi kilang seperti Hiroyuki dan Amandina Bumi Nusantara masih tidak cukup bahan sedangkan kedua-dua negara penuh dengan plastik.
Malaysia bukan satu-satunya negara dengan sikap sambil lewa terhadap plastik.
Indonesia, Filipina, Vietnam dan Thailand berada dalam senarai negara penyumbang sampah plastik laut terbesar di dunia. Namun, jarang ada yang ingin mengakui hakikat ini secara terbuka.
Setiap negara menuding jari kepada pengguna, industri atau negara jiran tetapi jarang melihat diri sendiri sebagai punca utama.
Malangnya, lautan tidak mengenal sempadan. Plastik yang dibuang di satu negara akan tiba di negara lain dalam masa beberapa minggu.
KRITIKAL
Malaysia mendapati sampah asing tersangkut di perairan Sabah dan Pantai Timur tetapi Malaysia juga menghantar hadiah serupa ke negara jiran.
Inilah realiti pahit yang ASEAN tidak mahu bincang secara jujur, rantau ini mempunyai krisis plastik yang kritikal kerana pemerintahnya tidak berani menetapkan peraturan tegas terhadap pengeluar.
Jika ASEAN benar-benar serius, perlu membentuk rangka kerja EPR serantau tetapi sehingga kini kerjasama itu masih kabur dan perlahan.
Sementara itu, lautan semakin dipenuhi sisa. Penyu mati dengan perut penuh plastik, ikan membawa mikroplastik ke pinggan kita dan pantai ditimbun sampah yang datang entah dari mana.
Kerajaan boleh menulis dasar terbaik. Industri boleh membina kilang tercanggih tetapi selagi rakyat masih melempar botol ke longkang dan mencampur plastik dengan sisa makanan, semua usaha itu tinggal angan-angan.
Malaysia masih hidup dalam ilusi kitar semula itu tugas orang lain. Kita mahu dunia yang bersih tetapi tidak mahu bersusah payah memulakan pengasingan sisa di rumah.
Masyarakat kita adalah pengguna tegar plastik tetapi tidak mahu mengakui diri sendiri sebagai penyumbang kepada krisis ini.
Sudah tiba masanya untuk berhenti menyalahkan ‘kesedaran masyarakat’. Frasa itu sudah terlalu kerap digunakan sehingga kehilangan makna. Apa yang diperlukan ialah undang-undang, bukan nasihat.
EPR harus menjadi mandatori dan pengasingan sisa di rumah wajib dikuatkuasakan. Jika tidak, negara akan terus menambah tapak pelupusan dan menenggelamkan masa depan dalam longgokan sampah.
Kita tidak boleh lagi menjadi negara yang hanya tahu minum dan buang. Kita tidak boleh lagi menjadi rantau yang membiarkan lautan menjadi mangsa kerakusan manusia.
Persoalan akhirnya adakah kita berani berubah sebelum terlambat atau kita akan terus hidup dalam lingkaran hipokrasi, menuntut alam sekitar bersih tetapi menjadi punca kepada pencemaran itu sendiri.-UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.










