SYDNEY: Seorang lelaki awam yang dirakam dalam video ketika menewaskan lelaki bersenjata semasa serangan maut di Pantai Bondi, Sydney pada Ahad dipuji sebagai wira susulan tindakannya menyelamatkan banyak nyawa.
Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan seorang lelaki dinamakan oleh media tempatan sebagai Ahmed al Ahmed, 43, pemilik kedai buah-buahan, memakai baju putih berlari ke arah seorang lelaki berbaju gelap yang memegang senapang di sebuah kawasan parkir.
Beliau kemudian menerkam lelaki bersenjata itu dari belakang, merampas senapang berkenaan dengan tangan sebelum menghalakan senjata itu kembali ke arah suspek.
Video berkenaan seterusnya memaparkan lelaki berbaju gelap berundur ke arah sebuah jambatan sementara Ahmed meletakkan senjata itu di atas tanah.
Ketua Menteri New South Wales, Chris Minns memuji Ahmed sebagai ‘wira sejati’ dan menyifatkan video tersebut sebagai adegan paling luar biasa yang pernah dilihatnya.
“Ramai, sangat ramai orang masih hidup malam ini hasil keberaniannya,” kata Minns.
Seorang suspek penembak disahkan maut manakala seorang lagi berada dalam keadaan kritikal susulan kejadian tembakan ketika acara di pantai berkenaan yang diadakan sempena perayaan Yahudi, Hanukkah.
Polis turut memaklumkan siasatan sedang dijalankan bagi menentukan sama ada seorang penembak ketiga terlibat.
Identiti orang awam itu tidak dapat disahkan serta-merta oleh Reuters. Namun, media tempatan Seven News melaporkan beliau telah dikenal pasti dan dimasukkan ke hospital selepas terkena dua tembakan.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese turut memuji tindakan rakyat Australia yang berlari ke arah bahaya demi membantu orang lain.
“Mereka ini wira, dan keberanian mereka telah menyelamatkan nyawa,” katanya pada satu sidang media.
Orang ramai turut meluahkan kekaguman di media sosial.
“Kebanyakan orang akan lari daripada bahaya, tetapi lelaki ini, yang berada di lokasi tragedi Pantai Bondi yang baru berlaku, bukan seperti itu,” kata seorang pengguna di platform X.
“Lelaki Australia ini menyelamatkan banyak nyawa dengan melucutkan senjata salah seorang pengganas di Pantai Bondi. Dia adalah WIRA,” kata seorang lagi.










