Pembangunan tanpa kawalan, sampah punca banjir besar

Pembangunan tanpa kawalan, sampah punca banjir besar

AFFENDI RAJINI KANTH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pembinaan perumahan tanpa kawalan serta perancangan betul sehingga mengganggu sistem saliran menjadi antara faktor banjir besar.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth berkata, lebih membimbangkan, terdapat banyak kawasan yang sebelum ini tidak pernah terjejas mula dinaiki air termasuk di negeri ini.

Katanya, sesuatu pembinaan atau perancangan sesuatu kawasan itu perlu dilihat kepada keperluan dan kesan jangka panjang antara lima atau 10 tahun ke depan.

“Kena kawal pembinaan yang boleh menjejaskan masa depan dan menimbulkan masalah seperti alam sekitar, tanah dan saliran,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan, sistem saliran, takungan air dan perparitan sedia ada di Malaysia tidak lagi sesuai menampung hujan ekstrem, sekali gus meningkatkan risiko banjir besar akibat perubahan corak iklim dan monsun tidak menentu.

Pensyarah Fakulti Kejurute­raan dan Teknologi Awam Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Madya Dr. Norazian Mohamed Noor dilaporkan berkata, infrastruktur dan sistem sedia ada dibina berdasarkan situasi hujan atau monsun zaman terdahulu.

Kata Norazian, trend global pemanasan dan laut semakin panas menjadikan monsun di rantau ini membawa hujan ek­strem yang lebih kerap.

Affendi Rajini berkata, selain itu, isu sampah yang memberi kesan kepada ekosistem turut menjadi antara faktor berlakunya banjir apabila saliran atau longkang tersumbat akibat sisa berkenaan.

Kata beliau, pasca banjir akan dapat menyaksikan sampah dihanyutkan dan kebanyakan longkang tersumbat menyebabkan air sukar mengalir.

“Masyarakat juga perlu memainkan peranan dengan tidak membuang sampah merata-rata dan menguruskan sisa pepejal dengan baik,” katanya.

Pensyarah kanan (keusahawanan) Jabatan Perniagaan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi (FPK) Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Dr. Atikah Nor Johari pula berkata, kerajaan perlu melaksanakan pengurusan banjir yang sistematik seperti

Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (NaFFWS) yang menyediakan maklumat hujan lebat dan paras air kepada orang awam secara berterusan.

“Kerajaan juga perlu memulihkan dan menaik taraf infrastruktur pengairan dan tebatan banjir yang bukan bersifat sementara tetapi membawa kepada ketahanan jangka panjang,” katanya. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×