PETALING JAYA: Mana-mana pihak yang mahu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf sepatutnya membawa perkara itu untuk semakan kehakiman, memandangkan polemik berkenaan sudah berlanjutan lebih 50 tahun.
Pakar pendidikan, Dr. Anuar Ahmad berkata, isu UEC sangat jelas daripada segi Perlembagaan dan tidak memerlukan perbincangan lanjut.
Katanya, jika desakan pengiktirafan UEC benar-benar sah, ia sepatutnya dibawa ke mahkamah untuk semakan kehakiman dan bukan hanya melalui rundingan politik.
“Jelas sekali, UEC melanggar Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan 1963 dan Akta Pendidikan 1996.
“Saya sudah kaji, sudah tulis dan sudah bincang dalam berbagai forum berulang-ulang kali tentang UEC,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, sebarang tuntutan termasuk untuk mengiktiraf UEC tidak boleh meminggirkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mana-mana tuntutan tidak boleh dibincangkan secara terpisah daripada kerangka Perlembagaan Persekutuan dan asas Bahasa Kebangsaan.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata, parti itu akan berjumpa dengan Perdana Menteri untuk meminta supaya kerajaan mengiktiraf UEC.
Anuar berkata, sekiranya tuntutan pengiktirafan UEC benar dan mematuhi peruntukan Perlembagaan serta Akta Pendidikan 1996, pastinya sudah lama ia dibawa ke mahkamah.
“Mengapa mereka tak bawa sahaja ke mahkamah? Mengapa mereka hanya nak jumpa dan bincang dengan Perdana Menteri?
“Ramai sahaja peguam boleh menasihati kumpulan pendesak UEC untuk bawa ke mahkamah. Tetapi mereka tidak berbuat demikian kerana sedar, jika tuntutan itu kalah di mahkamah, UEC akan berkubur di negara ini.
“Ibu bapa akan mula sangsi dengan tahap persijilan UEC dan berpindah ke sekolah menengah jenis kebangsaan (SMJK) atau sekolah antarabangsa,” katanya.
Katanya, strategi kumpulan pendesak UEC sejak 1975 adalah melalui saluran politik iaitu ‘desak-runding-senyap’, menunggu masa sesuai terutama menjelang pilihan raya umum (PRU).
“Peliknya, ada juga pemimpin politik yang kata ‘boleh bincang’, ‘boleh runding’ untuk mengiktiraf UEC.
“Bincang macam mana kalau UEC jelas tidak ikut keluhuran Perlembagaan? Bahasa pengantar utama bukan Bahasa Melayu, kurikulum bukan kurikulum kebangsaan, peperiksaan bukan peperiksaan kebangsaan dan guru-guru bukan guru latihan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM),” katanya.
Beliau turut membandingkan dengan negara jiran di mana UEC tidak pernah diiktiraf setaraf kurikulum kebangsaan mereka.
“Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei, Filipina, Vietnam malah China sendiri tidak mengiktiraf UEC setaraf kurikulum kebangsaan mereka.
“Mereka hanya membenarkan universiti menerima pelajar UEC dari Malaysia bagi menjana pendapatan daripada yuran pelajar antarabangsa,” katanya. – UTUSAN










