Tanggungjawab pertahan maruah perkhidmatan awam - Utusan Malaysia

Tanggungjawab pertahan maruah perkhidmatan awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penjawat awam sentiasa dipandang tinggi oleh anggota masyarakat kerana mereka berada di barisan hadapan dalam membantu rakyat dan menyelesaikan pelbagai urusan harian, selain berperanan sebagai pemudah cara, pelaksana dasar, dan penyumbang utama kepada kesejahteraan serta pembangunan negara.

Justeru tidaklah menghairankan apabila penglibatan segelintir penjawat awam dalam pelbagai salah laku seperti rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan, aktiviti tidak bermoral, dadah, judi mahupun jenayah berat lain menarik perhatian ramai sehingga ada melabel perbuatan ini menjejaskan imej perkhidmatan awam secara keseluruhannya.

Walaupun kelompok yang terlibat hanyalah kecil namun umpama peribahasa kerana nila setitik, rosak susu sebelanga, nama baik keseluruhan perkhidmatan tetap dianggap terjejas.

Oleh itu, perlu ada langkah berterusan bagi mengingatkan dan menyedarkan setiap warga perkhidmatan awam tentang tanggungjawab untuk menjaga dan memelihara imej serta tingkah laku sekali gus mempertahankan maruah perkhidmatan awam di mata masyarakat.

Hakikatnya, setiap penjawat awam tanpa mengira kedudukan, jawatan dan gred iaitu baik dalam kalangan kumpulan pengurusan tertinggi, pengurusan dan profesional mahupun kumpulan pelaksana perlu memainkan peranan dengan memikul tanggungjawab untuk mempertahankan maruah, imej dan nama baik perkhidmatan awam.

Selama ini, kita sudah biasa mendengar adalah sukar untuk masuk bekerja di perkhidmatan awam kerana persaingan tinggi dan sukar juga untuk dibuang kerja bila sudah berada dalam perkhidmatan awam kerana ada prosedur tindakan tatatertib yang walaupun tegas dan berat namun diuruskan dengan penuh berhati-hati dan bertimbang rasa.

Maka rakyat mengharapkan individu yang terpilih dan diberi peluang untuk berkhidmat dalam sektor awam adalah antara bakat hebat yang memiliki ciri-ciri pekerja terpuji sekali gus mampu membuktikan mereka sememangnya layak untuk berada dalam sektor awam.

Justeru setiap penjawat awam perlu memikul tanggungjawab untuk mempertahankan maruah perkhidmatan awam dalam apa keadaan sekalipun. Antara tanggungjawab utama setiap penjawat awam adalah perlu sentiasa baca, faham, hayati dan amalkan dua lafaz ikrar keramat perkhidmatan awam iaitu ikrar perkhidmatan awam dan ikrar integriti.

Komitmen dan dedikasi setiap penjawat awam perlu terus ditonjolkan melalui ikrar perkhidmatan awam yang dilafazkan, iaitu akan patuh dengan mengamalkan teras-teras perkhidmatan semasa menjalankan tugas, yakni berazam meningkatkan mutu perkhidmatan, bekerja dengan tanggungjawab, berusaha mengikis sikap mementingkan diri sendiri, berkhidmat dengan penuh muhibah dan kemesraan, bekerja ke arah memajukan pemikiran rakyat dan pembangunan negara, bekerjasama dalam membanteras kelemahan dan musuh-musuh negara dan berpegang kepada ajaran agama.

Sementara itu, ikrar integriti yang dilafazkan pula menzahirkan komitmen dan aku janji untuk berusaha memupuk dan mengamalkan nilai-nilai membenci rasuah, menutup semua ruang dan peluang yang mendedahkan kepada amalan rasuah, bertindak tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang, peraturan dan etika jabatan, bekerjasama sepenuhnya dengan mana-mana pihak untuk memerangi sebarang perlakuan jenayah rasuah, bertindak tegas terhadap mereka yang cuba menggugat integriti dan imej pegawai awam dan mematuhi sepenuhnya kod etika jabatan dan mengamalkan nilai murni yang berteraskan ajaran agama dalam melaksanakan tugas.

Secara prinsipnya setiap penjawat awam tertakluk kepada ikrar yang dilafazkan selain terikat dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Maka pemahaman dan pematuhan terhadap ikrar serta peraturan pastinya akan membolehkan penjawat awam berusaha untuk menjaga imej dan nama baik perkhidmatan awam.

Cukuplah segala rasuah dan salah laku yang dilaporkan, biar kejujuran dalam membuat keputusan serta pematuhan kepada undang-undang dan prosedur menjadi wadah yang meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.

Sebagai individu yang rapat dengan anggota masyarakat, sikap, tingkah laku, imej dan cara berkomunikasi juga perlu sentiasa dijaga dan dipelihara. Perlu elak terlibat dalam aktiviti yang menjejaskan imej jabatan dan kedudukan sebagai penjawat awam selain mengamalkan budaya komunikasi yang berhemah dengan budi pekerti terpuji.

Penguasaan ilmu pengetahuan dan pelbagai kemahiran terkini juga boleh membantu meningkatkan imej perkhidmatan awam. Hal ini kerana penjawat awam akan kelihatan lebih bijak dan mampu bukan saja menangani apa jua masalah yang timbul malah boleh berfikir dan bertindak dengan lebih strategik dengan pelan perancangan yang hebat.

Selain itu, setiap jabatan kerajaan juga wajar proaktif meningkatkan keterlihatan imej masing-masing melalui hebahan yang terancang tentang inisiatif yang dilaksanakan serta kejayaan dan pencapaian yang telah diraih. Ini boleh dilakukan melalui perancangan pelan komunikasi strategik, misalnya sama ada melalui penulisan mahupun penerbitan video ringkas yang menonjolkan perubahan, faedah atau impak positif yang dialami oleh masyarakat hasil usaha dan sumbangan penjawat awam.

Harus diakui kejayaan serta sumbangan positif penjawat awam jauh lebih banyak berbanding insiden salah laku yang dilaporkan. Sementara individu yang terlibat dikenakan tindakan, penjawat awam lain perlu terus mempertahankan maruah perkhidmatan awam melalui penyampaian perkhidmatan yang berintegriti.

Noor Mohamad Shakil Hameed Ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat) Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat (PSPK) Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×