Terima ratusan surat minta sokongan setiap hari - Utusan Malaysia

Terima ratusan surat minta sokongan setiap hari

MUHAMMAD KAMIL ABDUL MUNIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
Setiausaha Politik Menteri Kewangan, MUHAMMAD KAMIL ABDUL MUNIM mendedahkan realiti tugas pentadbiran yang sering disalah tafsir, termasuk hakikat bahawa pejabatnya menerima ratusan surat sokongan setiap hari. Beliau menegaskan semua surat hanya dipanjangkan kepada kementerian atau agensi berkaitan mengikut prosedur, tanpa kuasa meluluskan di pihaknya. Pendedahan itu, katanya, penting bagi menjelaskan komitmen kerajaan terhadap tata kelola dan memastikan tiada cubaan bypass the process dalam permohonan.

Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM dan IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL serta jurufoto MOHD. FAISOL MUSTAFA, Muhammad Kamil turut berkongsi pandangan berkaitan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), dengan kerajaan optimis menyelesaikan isu berlarutan itu secara tuntas tahun depan.

Menyentuh dinamika politik mutakhir, Kamil yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak menafikan desakan DAP supaya reformasi dipercepatkan dalam tempoh enam bulan adalah refleksi kekecewaan parti itu selepas keputusan PRN Sabah. Namun, beliau menolak tanggapan wujud unsur ugutan, sebaliknya melihatnya sebagai manifestasi tanggungjawab politik untuk meyakinkan pengundi bahawa pembaharuan sedang bergerak.

MINGGUAN MALAYSIA: Apa pandangan anda berkaitan isu e-Invois, SST, LHDN yang dibangkitkan pemimpin termasuk dalam Pakatan Harapan sendiri?
Kita kena tengok balik dari sudut rangka ekonomi makro, belanjawan, perbelanjaan kita selama ini. Ia ada kesenjangan dari sudut apa yang kita dapat dan apa yang kita belanjakan. Jadi, daripada sudut ekonomi, kita kena uruskan yang ini, kena kawal yang ini. Kalau tidak kawal, kita takut nanti kesenjangannya akan terus melebar.

Itu akan jadi masalah daripada sudut belanjawan. Kita akan terus ada defisit setiap tahun dan akhirnya akan beri kesan kepada kadar terbitan hutang baru kita. Ini yang kita sebut tentang soal disiplin fiskal ataupun pemulihan fiskal kita.

Tentang soal fundamental ini jika kita tidak tangani betul-betul ia akan beri kesan jangka panjang pada kita. Termasuk juga dengan kecurangan lampaulah, contoh macam hutang 1MDB kita terpaksa bayar dengan tinggi yang beri kesan kepada kita.

Juga tentang soal bagaimana kita dapat meningkatkan pendapatan itu supaya dapat tampung perbelanjaan kita melalui langkah pengukuhan tatakelola dan juga penjimatan supaya hasil kerajaan itu dapat dipertingkatkan tanpa cukai yang terlalu keras.

Contoh, orang akan sebut banyak cadangan tentang bagaimana kita dapat kembalikan semula GST dilihat sebagai satu sistem yang lebih komprehensif dari sudut pelaksanaan.

Tapi dalam keadaan seperti menteri sebut, kita bergelut dengan masalah gaji yang masih rendah, dengan sistem percukaian yang semua orang kena bayar berbanding SST yang lebih bersasar, jadi, kita perkukuh mekanisme sedia ada, SST itu sendiri. Kita tambah baik dari sudut perluasan skop kepada jualan dan juga perkhidmatan dan ju penguatkuasaan, dan begitu juga dengan soal e-Invois. Maknanya, langkah-langkah tata kelola ini bermaksud kita mahu pastikan tiada ketirisan dan kebocoran.

KERAJAAN MENDENGAR
Isu itu juga dibangkitkan kebanyakan PMKS, orang Cina ketika PRN Sabah, hingga memberi kesan dalam keputusan pilihan raya itu, jadi apakah langkah diambil bagi menangani kesannya dari segi politik?

Bagi saya kita mungkin kena perkemas dan pertingkatkan tentang komunikasi berkenaan dengan dasar dan juga penerangan. Satu lagi, betul kita tidak nafikan dan Perdana Menteri pun baru ini sudah umumkan, naikkan ambang e-Invois itu kepada RM1 juta, kerana ada keluhan dalam kalangan peniaga kecil tentang kos yang terpaksa ditanggung dalam melaksanakan e-Invois, sistem itu dan sebagainya kadang-kadang mencecah kos RM10,000. Jadi, tidak difikirkan kemudiannya. Itu tidaklah orang kata setimpal dengan jumlah hasil syarikat-syarikat kecil itu, jadi ambang itu dinaikkan.

Dalam erti kata lain, bukanlah kita tidak mendengar tentang permasalahan ini, kita dengar. Dari semasa ke semasa kita naik taraf sistem, dan kita kena faham asas cukai kita rendah, jadi perbelanjaan kian meningkat.

Langkah-langkah ini perlu untuk memastikan kedudukan fiskal itu terus kukuh dan pada masa sama, memastikan juga ada kemudahan menjalankan perniagaan dalam kalangan pemain industri dan tidak menekan mereka.

Ini adalah cabaran dalam tempoh masa singkat ini. Kita terpaksa memperbetulkan banyak hal yang melibatkan struktur pentadbiran dan banyak langkah contoh penyasaran semula subsidi diesel di peringkat awal dulu Budi Madani dan Budi 95 ini langkah yang tidak popular. Tetapi tanyalah mana-mana pakar ekonomi, kalau kita teruskan dengan sistem sedia ada, apakah ekonomi kita mampu bertahan? Jadi, kita terpaksa beranjak kepada satu perdekatan lebih bertanggungjawab dan berdisiplin.

Ada mendakwa Kementerian Kewangan (Mof) suka membuat keputusan tanpa rujuk kementerian lain?
Saya ingat dalam pentadbiran kerajaan ini, contoh macam kita buat belanjawan itu semua bermula dengan sesi libat urus dengan pemain-pemain industri, dewan perniagaan, dengan kementerian-kementerian.

Kita mahu datang dengan satu benda dokumen yang lengkap dan sempurna, mana mungkin. Jadi, dari semasa ke semasa itu ia ditambahbaik. Contoh dulu, macam SST. Kerajaan hari ini adalah kerajaan yang mendengar keluhan, pandangan bahkan kritikan.

Jadi, ada masa benda itu kita pinda sedikit daripada sudut pengecualian, contoh buah-buahan import dan sebagainya. Bukan kata kita hendak buat satu benda itu dan lihat kesannya kemudian. Bukan itu yang kita mahukan. Tetapi keputusan yang dibuat itu setelah berunding dengan semua pihak dan difikirkan ini adalah keputusan yang sesuai dan tambahbaik.

Macam Datuk Seri Rafizi Ramli dengan pandangannya, kata tidak setuju dari sudut pemberian subsidi Budi 95 menggunakan kaedah kad pengenalan. Baginya ini akan menimbulkan kekalutan. Dia lebih bersetuju untuk memberikan bantuan tunai secara langsung, dan ada juga beberapa pandangannya yang kita rasa setelah dibincangkan itu tidak sesuai untuk dilaksanakan.

Tapi ternyata hari ini kita tengok mekanisme yang dibincangkan, diputuskan bukan di peringkat MoF sahaja, bahkan dalam Kabinet yang dipersetujui bersama oleh jemaah menteri itu, berjalan baik.

Pandangan anda mengenai cadangan untuk penubuhan Ombudsman Malaysia?
Kalau kita tengok satu-satu perkara itu kita terjemah dalam bentuk rang undang-undang, pertama kita nampak keseriusan kerajaan, melihat perkara ini sebagai perkara yang perlu gubal supaya akan ada kesan undang-undang dan kesan yang lebih serius.

Kedua, langkah penggubalan ini menunjukkan bahawa kita rasa ada tuntutan dan juga tanggungjawab untuk tangani permasalahan ini secara lebih tersusun dan rapi, memperkukuh institusi, mengembalikan semula keyakinan dan memastikan ada konsep kebertanggungjawaban terhadap rakyat sendiri dalam sistem demokrasi.

Bila cakap tentang soal tata kelola inilah dia, yang cuba Perdana Menteri terjemahkan, ia bukan satu benda yang popular, bahkan sesetengah orang naik muak dengan perkataan tata kelola yang sering disebut Perdana Menteri, tetapi hari ini ia terbukti, kalau kita ada pengurusan, tata kelola baik, ia dapat bagi banyak faedah kepada kerajaan dan juga pentadbiran kita.

Baru-baru ini tangkapan terhadap Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri sedikit sebanyak memberi tamparan kepada parti dan kerajaan Madani hingga ada yang mula mempersoalkan isu tata kelola?
Pertama, itu kes yang sedang berjalan di mahkamah dan kita berpegang pada innocent until proven guilty. Datuk Seri Shamsul Iskandar ada hak untuk mempertahankan diri dia daripada tuduhan.

Kedua, ini juga tunjukkan bahawa Perdana Menteri sendiri tidak akan melindungi orang yang berada di sekeliling dia. Ini adalah contoh tata kelola yang baik. Sebelum daripada ini pun saya ingat jaranglah berlaku kes yang sebegini tetapi hari ini, kalau ada bukti, ada laporan, dokumen yang mencukupi untuk bawa kes ke mahkamah, jadi dipersilakan, tidak ada sorok-sorok, ditunjuk lagi, dipakai baju oren, digari lagi. Itu yang kita sebut berkenaan kedaulatan undang-undang,

Anda harap untuk satu pentadbiran yang sempurna, tiada cacat cela ataupun tidak ada kelemahan, itu satu perkara yang mustahil tetapi yang paling penting sekali apa tindakan kita, yang mana hari ini diterjemah oleh kerajaan dengan jelas bahawa kalau anda ada tuntutan, ada bukti sila jalankan dan teruskan.

ISU SURAT SOKONGAN
Anda juga tidak terlepas daripada dikaitkan dengan isu surat sokongan? Boleh jelaskan?
Saya ingat isu tentang soal ini, orang melobi itu dan ini, ia berlaku di mana-mana. Tetapi kita di sini sebab bekerja rapat dengan Perdana Menteri, maka kita tertakluk dengan peraturan dan juga garis panduan yang ditetapkan.

Macam saya sendiri baru-baru ini turut diviralkan tentang dakwaan surat sokongan, saya mahu ambil kesempatan ini untuk bagi penjelasan. Hari-hari pejabat saya ini terima surat ada ketika dulu ratusan surat, lebih 100 surat saya terima sehari . Jadi, apakah saya wajar untuk biarkan surat itu di atas meja saya saja, ataupun saya sebagai anggota pentadbiran, perlu menjalankan tugas saya?

Jadi, ada macam-macam jenis permohonanlah, ada minta rumah, bantuan, tukar tempat kerja, minta apa macam yang diedarkan baru ini yang ditularkan yang bagi saya ada niat jahat.

Saya hendak sebut di sini kalau dilihat surat itu, tiada yang disebut bahawa saya setuju atau saya sokong. Biasanya kalau masuk pejabat, pegawai saya akan letak satu fail di atas meja, ada surat mungkin sudah sampai ke pejabat saya seminggu, dua minggu atau tiga minggu jadi saya ambil masa satu hari duduk dan teliti surat.

Kalau surat itu berkenaan hal-hal yang melibatkan Kementerian Kewangan, jadi saya ajukan kepada bahagian yang terbabit, kerana saya tidak ada kuasa untuk pertimbangkan benda itu, saya tidak ada pasukan teknikal untuk lihat hal itu secara mendalam, jadi kalau ada yang berada di luar Kementerian Kewangan, contoh dia minta bantuan jalan di kawasan kampung, jadi saya kena ajukan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk diteliti permohonan itu.

Maka, kita kena faham, ada orang yang cuba ambil kesempatan untuk bypass the process (melangkaui proses) berbanding mengikut peraturan sepatutnya. Cubaan untuk ‘sailang’ menggunakan pengaruh yang ada.

Kita tertakluk kepada peraturan, ini yang kita sebut tentang soal tata kelola, soal bagaimana kita kena ikut peraturan ini. Kalau ada cubaan untuk bypass the process, saya harus pulangkan semula perkara itu kepada peraturan, itu tanda kita buat perkara yang betul.

Adakah kerenah birokrasi menjadi antara sebab ada pihak yang memilih melobi melalui surat sokongan?
Saya tidak nafikan di semua peringkat pun, mereka ada sikap yang sama. Kalau tidak, tidak adalah pejabat ini, semua orang pun akan hantar surat dan akan lihat apakah ada ruang untuk bantu, contohnya percepatkan. Maka, kita dapat contoh surat-surat bantuan untuk orang sakit, perlukan katil dan sebagainya, yang mana kita rasakan ada kewajaran segera untuk kita bantu.

Ia bergantung kepada tahap kepentingan dan kesegeraan satu-satu perkara tu dan itu atas pertimbangan kita. Takkanlah kita langsung tidak ada prerogatif terhadap hal-hal sebegitu. Itu satu perkara yang saya ingat biasa semua orang pun akan hantar surat, daripada cikgu, ketua kampung, rakyat biasa di bawah daripada sekecil-kecil sehingga sebesar-besar hal.

Tugas kita adalah untuk teliti. Mungkin juga sebab birokrasi hingga orang mahu short cut, tetapi pertimbangan di peringkat kita itu harus mengikut peraturan.

Adakah kes Datuk Seri Shamsul Iskandar Mat Akin ini boleh memberi kesan kepada parti untuk menghadapi PRU-16, memberi ‘peluru’ kepada pembangkang?
Pembangkang tidak ada idea atau gagasan besar daripada sudut dasar. Jadi, terpaksa cipta isu-isu yang sebenarnya kalau hendak buka balik kerja-kerja pentadbiran, ia akan jadi permainan politik yang sangat berkelas rendah dan remeh. Apa yang dilakukan hari ini adalah untuk membina persepsi politik negatif akibat ketandusan mereka untuk mengemukakan hujah yang lebih sunstantif daripada sudut dasar.

Ini kelemahan yang terpaksa diakui sendiri ahli Parlimen pembangkang, bahawa kepimpinan mereka juga gagal menangani isu ekonomi dan dasar menyebabkan pergolakan berlaku dalam parti mereka. Jadi, ada kalangan yang anggap perkara ini umpamanya isu surat sokongan itu tiada apa-apa pun, cuma dimainkan oleh ahli politik low class yang ketandusan isu.

PKR TIDAK TANDUS PEMIMPIN
Siapa calon PM dari PKR selepas Anwar?
Saya percaya negara kita tidak tandus pemimpin cuma mungkin dilihat hari ini kita ada seorang Perdana Menteri yang sangat tak duduk diam, bekerja ke sana sini.

Perdana Menteri memang kita tidak nafikan work pace itu sangat luar biasa tetapi Perdana Menteri juga tunjukkan satu sikap yang meraikan pemimpin muda, banyak ruang diberikan kepada kelompok-kelompok muda dalam parti untuk diberi sedikit sebanyak peranan sebagai anggota pentadbiran jadi saya ingat tentang soal (pengganti) dia akan datang, pemimpin datang dan pergi dan insyaAllah lepas ini ada pemimpin yang boleh mewarisi pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kita tidak tandus pemimpin dalam PKR, akan ada munculnya pemimpin-pemimpin baru dari semasa ke semasa dan jadi sebahagian daripada tugas kita mengilap dan juga bakat-bakat baru khususnya dalam kalangan orang muda.

Mungkinkah boleh berlaku kerjasama antara PH dan Pas?
Saya ingat kita sekarang ini semua parti yang ada di negara ini, semua pernah bekerjasama di antara satu sama lain, jadi there is no permanent enemy, no permanent friend. Dalam politik apa saja yang boleh berlaku yang penting adalah kalau kita ada kesefahaman, maksudnya objektif dan matlamat itu jelas saya fikir semua pihak harus dukung usaha itu secara bersama.

Kita sedang melalui zaman fasa kematangan politik, kalau kita lihat di negara-negara lain contoh macam di Indonesia, daripada satu sudut amalan politik mereka itu jauh meninggalkan kita, termasuk di Amerika Syarikat dan negara lain dan kita mungkin sedang meneroka satu pendekatan politik yang baru, yang lebih dinamik, lebih mudah dan tidak ada apa-apa yang mustahil untuk kita saksikan pada masa yang akan datang.

DAP KECEWA
Boleh ulas mengenai desakan DAP yang memberi tempoh enam bulan untuk kerajaan melaksana reformasi selepas tewas di PRN Sabah?

Saya faham ini adalah kesan kekecewaan daripada PRN Sabah baru-baru ini dan semalam pun kita ada mesyuarat Pakatan Harapan yang berjalan dengan baik. Tidak ada seperti mana disebutkan ugutan itu dan sebagainya.

Cuma setiap parti politik ini ada segmen dan mereka perlu mengatasi isu ini untuk yakinkan bahawa mereka melakukan sesuatu dan tentu saja kita tidak ambil mudah perkara ini. Sebab itu, keputusan PRN Sabah ini sikit sebanyak memberi kesan kepada kita untuk melihat semua pendekatan, memperbaiki, memperkukuh lebih kuat, lebih efektif lagi berkesan untuk sebarang bentuk inisiatif ataupun dasar yang akan dikenalkan selepas ini.

Saya ingat itu adalah satu reaksi biasa, saya tidak panggil itu sebagai satu ugutan tetapi itu cerminan bagaimana pimpinan DAP menunjukkan cara mereka, kebertanggungjawaban mereka terhadap amanah dan juga tanggungjawab yang diberikan kepada mereka. Itu saja, tidak lebih daripada itu.

Bukan sebab DAP ada 40 kerusi dan boleh membuat ugutan?
Tidak. Saya ingat keadaan dinamik politik hari ini sudah berubah di negara kita. Macam inilah, di Persekutuan semua perpaduan, di negeri semua kawan di antara satu dengan lain.

Jadi, itu pendirian mereka dan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke juga sebut, itu tidak akan mengubah pendirian mereka untuk terus menyokong (kerajaan), kekal Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Itu cumalah suara hasrat. Ia macam kita letak satu penanda aras, dalam tempoh enam bulan ini mesti ada sedikit penambahbaikan yang akan berlaku dan itu akan dibuktikan kemudian untuk beri keyakinan.

ISU UEC SELESAI SECARA TUNTAS
Adakah gesaan pengiktirafan UEC oleh DAP itu mungkin satu desakan untuk terus menekan Perdana Menteri?
Saya tidak fikir begitu. Saya ingat kerajaan selama hari ini pun memang bincang soal bagaimana UEC ini jika diiktiraf. Ia ada hal-hal yang tertentu yang perlu dipatuhi semua pihak.

Contoh tentang soal bahasa, tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, pengiktirafan bahasa Melayu itu sebagai salah satu mata pelajaran teras yang perlu penuhi.

Saya ingat ini adalah satu proses perbincangan yang sedang berjalan, dan saya fikir dalam tahun depan boleh tangani isu ini secara tuntas kerana apa yang kerajaan hari ini sedang lakukan antara lainnya mewarisi masalah-masalah ataupun isu-isu legasi. – MINGGUAN MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×