BANGKOK: Skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara berisiko tersingkir awal di Sukan SEA Thailand 2025 selepas tumbang 0-2 di tangan Vietnam pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Rajamangala, semalam.
Ketika mereka hanya memerlukan seri untuk lolos ke separuh akhir sebagai juara Kumpulan B, sebaliknya berlaku dengan kini perlu menunggu sama ada mampu layak sebagai naib juara terbaik ataupun tidak.
Pada aksi terbabit, Vietnam mendominasi permainan dan meraih jaringan pada minit ke-10 selepas hantaran lintang Nguyen Dinh Bac ditanduk masuk Nguyen Hieu Minh untuk gol pertama Vietnam.
Malaysia terus dihukum sebelum memasuki babak kedua apabila hantaran Dinh Bac sekali lagi disudahkan Pham Minh Phuc ke dalam gawang untuk melebarkan jurang 2-0, sekali gus meletakkan skuad Nafuzi Zain dalam tekanan.
Bersambung babak kedua, Malaysia cuba bangkit dengan permainan lebih tersusun namun tidak cukup untuk menguji gawang kawalan Tran Trung Kien yang tampak lebih banyak berehat.
Kedudukan 2-0 kekal sehingga wisel penamat untuk skuad bimbingan Kim Sang Sik mara ke separuh akhir selaku juara Kumpulan B.
Dalam sidang akhbar selepas perlawanan, Nafuzi memohon maaf kepada rakyat Malaysia selepas anak buahnya gagal melakar kemenangan kedua dalam aksi Kumpulan B.
“Kami kecewa, kami hanya mahukan keputusan seri untuk ke separuh akhir. Tetapi separuh masa pertama kami tidak agresif dan berikan lawan banyak ruang untuk menjaringkan gol.
“Separuh masa kedua kami buat sedikit perubahan dan nampak perubahan, tetapi tidak dapat apa yang kami mahukan.
“Saya minta maaf kepada peminat kami atas kekalahan ini, pastinya kami kami mahu layak ke peringkat seterusnya dengan kemampuan kami sendiri dan bukannya mengharapkan bantuan pasukan lain,” kata Nafuzi.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik skuad negara dalam acara bola sepak lelaki Sukan SEA adalah merangkul pingat emas dalam enam edisi iaitu pada 1961, 1977, 1979, 1989, 2009 dan 2011.
Pada edisi 2023 di Kemboja, skuad negara kandas di peringkat kumpulan apabila menamatkan saingan di tangga ketiga Kumpulan B di belakang Thailand dan Vietnam. – UTUSAN










