WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan mengadakan panggilan telefon dengan kepimpinan Thailand dan Kemboja pada Khamis bagi meredakan ketegangan susulan konflik bersenjata yang semakin memuncak di sempadan kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu.
Ketegangan tercetus pada 8 Disember lalu apabila tentera Thailand melancarkan serangan udara terhadap sasaran ketenteraan di Kemboja.
Bangkok mendakwa tindakan itu dibuat sebagai tindak balas selepas pasukan Kemboja terlebih dahulu menyerang sehingga mengorbankan seorang anggota tentera Thai dan mencederakan beberapa yang lain.
Namun, Phnom Penh menafikan dakwaan tersebut dan sebaliknya menuduh Thailand sebagai pihak yang memulakan serangan.
Kerajaan Kemboja turut mendakwa serangan udara Thai itu mengakibatkan kematian orang awam serta kerosakan di beberapa kawasan perkampungan dan kuil berhampiran sempadan.
Insiden berbalas serangan ini berlaku kurang dua bulan selepas kedua-dua negara menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang disaksikan pemimpin antarabangsa, termasuk Trump dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas perkembangan itu, Trump menyatakan keyakinannya Washington mampu memainkan peranan penting dalam meredakan ketegangan serta mengelakkan pertempuran lanjut antara kedua-dua negara.
“Saya percaya kita boleh hentikan pertempuran ini,” katanya dalam kenyataan ringkas di Rumah Putih, semalam.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam kenyataan berasingan menggesa Thailand dan Kemboja menggunakan saluran diplomatik serta mekanisme sedia ada bagi mengelakkan konflik daripada merebak dan menjejaskan kestabilan serantau.
Konflik terbaharu ini turut menimbulkan kebimbangan komuniti antarabangsa memandangkan kedua-dua negara sebelum ini berulang kali terlibat dalam pertikaian sempadan yang mudah mencetuskan ketegangan ketenteraan.










