KUALA KRAI: Lebih 1,000 penduduk di Kampung Batu Mengkebang di sini mendakwa sumber air mereka terjejas selepas Air Terjun Lata Y, Sungai Rek berubah menjadi keruh kekuningan.
Gambar air seakan warna ‘teh tarik’ di pusat peranginan itu turut tular di media sosial sejak Isnin lalu, sekali gus mengundang persoalan bagaimana Air Terjun Lata Y boleh bertukar warna?
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, seorang penduduk tempatan yang mahu dikenali sebagai Ismail, 50-an berkata, perubahan warna air terjun itu terlalu drastik dan sangat mengejutkan.
Katanya, penduduk yang menetap berhampiran kawasan itu menggunakan sumber air tersebut untuk kegunaan harian.
“Dulu air di Lata Y sangat bersih, jernih sehingga boleh nampak ikan dalam sungai. Namun, sekarang bukan setakat semakin keruh, tapi berselut tebal pula.
“Kami penduduk kampung percaya ia disebabkan aktiviti pembalakan dan juga pembukaan ladang tidak jauh dari sini. Pihak berkuasa perlu hentikan aktiviti itu segera sebelum keadaan Air Terjun Lata Y menjadi lebih teruk,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, beliau terkejut melihat gambar terkini Air Terjun Lata Y yang tular dalam media sosial pada Isnin (31 Mei) dan segera masuk ke lokasi bagi meninjau sendiri keadaan sebenar.
Beliau segera menulis surat kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob untuk memaklumkan situasi di Lata Y serta mengemukakan beberapa cadangan bagi memelihara alam sekitar di situ yang diakui terjejas teruk.
“Saya cadangkan kepada Menteri Besar supaya dihentikan serta-merta pembalakan dan batalkan lesen perladangan, kemudian wartakan sebagai kawasan yang dilindungi supaya tidak lagi diusik mana-mana pihak buat selama-lamanya.
“Alhamdulillah pihak beliau turut prihatin terhadap masalah itu dan cadangan saya telah dipersetujui sebelum dipanjangkan kepada Jabatan Perhutanan negeri untuk dilaksanakan secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN











