Kesinambungan dasar lebih utama daripada pertukaran segera

Kesinambungan dasar lebih utama daripada pertukaran segera

KESEIMBANGAN antara pertanggungjawaban menteri dan kesinambungan dasar dalam portfolio pendidikan menjadi faktor utama dalam sebarang keputusan rombakan Kabinet.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAIN daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dan pemergian abadi Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, perbualan politik tanah air sejak beberapa minggu kebelakangan ini semakin rancak membincangkan kemungkinan rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walaupun tiada tarikh rasmi diumumkan, pemerhati politik dan masyarakat umum menjangkakan beberapa perubahan besar, terutamanya dalam portfolio yang dilihat berdepan tekanan dan kritikan awam.

Keputusan Perdana Menteri dijangka dipengaruhi beberapa faktor utama antaranya kekosongan empat jawatan menteri, keperluan mengisi portfolio kritikal seperti Kementerian Ekonomi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan  Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta desakan agar teknokrat dibawa masuk melalui lantikan senator.

Pada masa sama, portfolio strategik seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dijangka kekal utuh atas pertimbangan keselamatan dan politik.

Gabungan faktor ini menunjukkan rombakan yang bakal berlaku lebih bersifat penyelarasan sederhana.

Dalam senarai spekulasi, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Menterinya, Fadhlina Sidek, sering menjadi tumpuan setiap kali perbincangan mengenai rombakan Kabinet diutarakan walaupun sebelum ini Anwar mengatakan rombakan Kabinet hanya melibatkan portfolio yang ‘dikosongkan’.

Beberapa penganalisis politik menegaskan kedudukan Fadhlina lebih mudah dipertimbangkan oleh Perdana Menteri kerana beliau berasal daripada Pakatan Harapan (PH), blok politik di mana Anwar memiliki budi bicara lebih luas berbanding menteri dari parti komponen lain yang cenderung mempertahankan kuota masing-masing.

Portfolio Pendidikan turut menjadi perhatian media, terutamanya selepas beberapa insiden serius membabitkan pelajar seperti buli, rogol dan pembunuhan.

Dalam konteks ini, Fadhlina dianggap berada ‘di bawah mikroskop’. Namun, keterbukaan beliau dalam mengakui kekurangan dan kesediaannya memperbaiki pelaksanaan dasar sedikit sebanyak membantu meredakan kebimbangan awam, menunjukkan sikap bertanggungjawab dan komitmen terhadap reformasi.

Persoalan yang lebih penting ialah sejauh mana kritikan terhadap menteri boleh dijadikan asas kukuh untuk merombak kepimpinan kementerian yang berskala besar dan sarat cabaran struktur.

Portfolio Pendidikan bukan sekadar pengurusan pentadbiran tetapi merupakan ekosistem nasional yang merangkumi lebih 10,000 sekolah, setengah juta guru, lima juta pelajar serta pelbagai institusi sokongan.

Apa jua langkah pembaharuan perlu melalui lapisan birokrasi, realiti sosiobudaya dan pengaruh politik yang telah lama mewarnai sejarah pendidikan negara.

Pandangan Profesor James Chin dari Universiti Tasmania amat relevan. Beliau menegaskan portfolio Pendidikan di Malaysia adalah antara yang paling dipolitikkan, lebih-lebih lagi dalam iklim politik identiti Melayu-Islam yang semakin mengakar.

Tekanan daripada pelbagai pihak, termasuk kumpulan berkepentingan pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan guru dan badan keagamaan, menjadikan setiap dasar baharu sukar dirumus dan dilaksanakan tanpa kontroversi.

Justeru, hampir mustahil mana-mana menteri mencapai hasil besar dalam tempoh singkat, kerana cabaran bukan semata-mata keberkesanan individu tetapi sifat struktur kementerian itu sendiri yang terbuka, kompleks dan sensitif.

Latar belakang sistem pendidikan pasca pandemik juga tidak boleh diketepikan kerana dua tahun penutupan sekolah memberi kesan mendalam seperti kemerosotan disiplin, hilang motivasi pelajar dan jurang pencapaian yang semakin melebar antara bandar dan luar bandar.

Masalah ini muncul sebagai gejala sosial baharu dan bukannya kegagalan menteri semasa tetapi warisan krisis global yang tidak pernah dialami negara sebelum ini.

Dalam keadaan sebegini, penilaian terhadap prestasi menteri tidak seharusnya diputuskan hanya berdasarkan insiden berprofil tinggi yang tular, sebaliknya perlu melihat secara objektif usaha dan asas pembaharuan yang dibina.

Malah dalam tempoh tiga tahun pentadbiran, beberapa inisiatif membawa implikasi jangka panjang, antaranya usaha memperkukuh kesejahteraan guru, memperluas akses pendidikan dan meningkatkan bidang sokongan pembelajaran di sekolah.

Usaha paling signifikan ialah penggubalan RUU Pendidikan (Pindaan) 2025 sebagai pindaan penting kepada Akta Pendidikan 1996 yang bertujuan mewajibkan pendidikan sehingga Tingkatan Lima.

Ini merupakan suatu langkah berani yang memerlukan keberanian politik besar, memandangkan ia menuntut penambahan sekolah baharu, guru tambahan, pembiayaan lebih besar dan rangka perlindungan sosial yang menyeluruh bagi menangani pelajar tercicir.

Tidak banyak menteri sebelum ini, tanpa mengira parti, yang benar-benar mendekati usaha sebesar ini.

Walaupun dasar itu belum dilaksanakan sepenuhnya, ia menunjukkan adanya rangka kerja besar yang sedang dibina dan memerlukan kestabilan kepimpinan untuk memastikan pelaksanaannya tidak tergendala.

Selain itu, KPM kini berada di peringkat kritikal dalam merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026–2035 serta menyiapkan Kurikulum Persekolahan 2027 yang akan bermula di prasekolah pada tahun hadapan.

Kedua-dua dokumen ini merupakan peta hala tuju generasi akan datang, dan segala keputusan dasar yang digubal hari ini akan meninggalkan kesan sekurang-kurangnya untuk sedekad mendatang.

Sebarang perubahan kepimpinan secara drastik berisiko menyebabkan kelengahan penyelarasan, pengulangan kajian atau perubahan keutamaan dasar seperti yang kerap berlaku apabila kementerian bertukar menteri dalam tempoh singkat.

Namun, mengekalkan Fadhlina tidak bermakna beliau bebas daripada kritikan. Masih terdapat ruang penambahbaikan, terutamanya dalam komunikasi strategik, pengurusan tindak balas insiden berprofil tinggi, dan peningkatan keupayaan kementerian menggerakkan pembaharuan di peringkat negeri dan daerah.

Kerana kementerian sebesar KPM menuntut kepimpinan tegas, responsif dan cekap mengurus persepsi. Fadhlina masih perlu meningkatkan keberkesanan naratif dasar agar tidak dibayangi kontroversi yang bersifat mikro tetapi memberi impak tinggi terhadap sentimen masyarakat.

Selain itu, kedudukan beliau sebagai Ketua Wanita PKR turut memberikan dimensi politik tersendiri.

Menggugurkan seorang pemimpin wanita utama dalam PKR mungkin mencetuskan sensitiviti parti, khususnya dalam konteks representasi gender di Kabinet.

Justifikasi ini tidak boleh berdiri sendiri, yang lebih penting ialah sejauh mana kesinambungan kepimpinan menyumbang kepada pelaksanaan dasar yang sedang berkembang.

Jika Fadhlina dikekalkan, kerajaan perlu menyediakan sokongan lebih kukuh, termasuk pengukuhan pasukan teknokrat, penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang jelas dan penstrukturan semula prioriti berorientasikan hasil.

Portfolio Pendidikan memerlukan maraton dasar, bukan larian pecut. Jika pertukaran berlaku kerana tekanan jangka pendek, negara berisiko merencatkan pembaharuan sedang digerakkan.

Sebaliknya, mengekalkan menteri yang telah membina asas reformasi, dengan sokongan institusi dan penegasan KPI, mungkin memberi kestabilan yang lebih diperlukan KPM.

Dalam suasana politik yang dinamik, keseimbangan antara kestabilan dasar dan tuntutan kebertanggungjawaban menteri menjadi cabaran besar kepada Perdana Menteri.

Apa jua keputusan Anwar, kesinambungan kepimpinan yang konsisten, berdaya saing dan berpandangan jauh lebih menguntungkan pendidikan negara daripada pertukaran kosmetik atau reaktif.

Secara halus, mengekalkan Fadhlina akan memberi peluang untuk membina kesinambungan dasar yang stabil, sekali gus memperkukuh agenda reformasi pendidikan yang telah dimulakan.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi Mara (UiTM).

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×